LOS ANGELES – Belgium gagal memanfaatkan status sebagai pasukan pilihan apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Iran dalam aksi Kumpulan G Piala Dunia 2026 di Stadium SoFi awal pagi tadi.
Pada pertemuan pertama melibatkan kedua-dua negara itu, skuad digelar Red Devils berdepan kesukaran untuk menembusi benteng pertahanan Iran yang tampil cukup berdisiplin sepanjang 90 minit permainan.
Belgium menguasai sebahagian besar permainan dan mencipta beberapa peluang berbahaya, namun ketangkasan penjaga gol Iran, Alireza Beiranvand memastikan gawang pasukannya tidak dibolosi.
Situasi Belgium menjadi lebih sukar apabila mereka terpaksa beraksi dengan kekurangan pemain selepas Nathan Ngoy dilayangkan kad merah, sekali gus menjejaskan usaha untuk memburu kemenangan.
Iran yang dikenali dengan gelaran Cheetah Persia pula berjaya mempertahankan keputusan seri sehingga wisel penamat meskipun diasak bertali arus oleh lawan.
Keputusan 0-0 itu menyaksikan kedua-dua pasukan masih gagal meraih kemenangan selepas mengharungi dua perlawanan dalam saingan Kumpulan G.
Kini, peluang Belgium dan Iran untuk melangkah ke pusingan kalah mati bakal ditentukan pada aksi terakhir peringkat kumpulan nanti. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AP Photo