SAN FRANCISCO – Impian Jordan untuk melangkah ke pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 berkecai selepas tewas 1-2 kepada Algeria dalam aksi kedua Kumpulan J di Stadium San Francisco Bay Area, awal pagi tadi.
Kekalahan itu, ditambah kemenangan Argentina 2-0 ke atas Austria dalam satu lagi perlawanan kumpulan, mengesahkan penyingkiran Jordan selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut.
Argentina muncul pasukan pertama dari Kumpulan J yang mengesahkan kemaraan ke pusingan seterusnya dengan enam mata maksimum, manakala Algeria dan Austria masing-masing mengumpul tiga mata menjelang aksi terakhir kumpulan. Jordan pula kekal di tangga tercorot tanpa sebarang mata.
Jordan memulakan perlawanan dengan penuh bertenaga dan hampir membuka tirai jaringan seawal minit pertama menerusi tandukan Nizar Al Rashdan yang sedikit tersasar.
Algeria kemudian mula menguasai permainan dengan beberapa percubaan berbahaya menerusi Amine Gouiri dan Farès Chaïbi, namun benteng Jordan berjaya bertahan dengan baik.
Walaupun Algeria lebih banyak menguasai bola, Jordan terlebih dahulu mengejutkan lawan pada minit ke-36.
Mousa Al Tamari mengetuai serangan balas pantas sebelum menghantar bola tepat kepada Al Rashdan yang tenang menyudahkan peluang untuk meletakkan Jordan di hadapan 1-0.
Kedudukan itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama meskipun Algeria terus melancarkan serangan demi serangan.
Memasuki babak kedua, Algeria tampil lebih agresif selepas jurulatihnya, Djamel Belmadi melakukan pertukaran taktikal dengan memasukkan Nabil Bentaleb dan Nadhir Ben Bouali.
Penjaga gol Jordan, Yazeed Abulaila menjadi watak utama apabila beberapa kali menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi hasil percubaan Ibrahim Maza dan Ben Bouali.
Namun, tekanan berterusan Algeria akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-69 apabila Ben Bouali menanduk masuk sepakan penjuru Riyad Mahrez untuk menyamakan kedudukan 1-1.
Gol tersebut menyuntik semangat Algeria yang terus mengasak kubu Jordan.
Pada minit ke-82, Gouiri memanfaatkan keadaan kelam-kabut di hadapan pintu gol selepas satu lagi sepakan penjuru untuk menjaringkan gol kemenangan Algeria.
Jordan cuba mencari gol penyamaan dalam tujuh minit masa kecederaan, namun usaha mereka gagal menembusi pertahanan Algeria yang bertahan dengan cukup disiplin.
Kekalahan itu menamatkan cabaran Jordan dalam kempen Piala Dunia kali ini, manakala Algeria masih berpeluang memburu tiket ke pusingan 32 terbaik apabila bakal berdepan Austria dalam aksi penentuan terakhir Kumpulan J.
Sementara itu, Jordan akan menutup saingan kumpulan dengan menentang Argentina yang sudah pun mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAF