PETALING JAYA – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan pelantikan Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih interim skuad kebangsaan susulan pemergian Peter Cklamovski.
Menurut FAM, keputusan itu dibuat berdasarkan pengalaman luas, rekod cemerlang serta pemahaman mendalam Cheng Hoe terhadap landskap bola sepak tempatan, sekali gus diyakini mampu mengukuhkan Harimau Malaya dalam tempoh peralihan ketika ini.
Cheng Hoe, 58, bukan nama asing dalam skuad kebangsaan apabila pernah berkhidmat sebagai penolong jurulatih skuad bawah 20 tahun pada 2005 sebelum bersama skuad bawah 23 tahun dari 2009 hingga 2010.
Beliau kemudian menjadi penolong jurulatih skuad senior dari 2009 hingga 2013 sebelum kembali menyertai pasukan pada 2017 dan dilantik sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya dari Disember 2017 hingga Disember 2021.
Sepanjang bersama barisan kejurulatihan negara, anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu membantu Malaysia muncul juara Sukan SEA 2009 dan menjulang Piala AFF Suzuki 2010, selain membawa Harimau Malaya mara ke final Piala AFF Suzuki 2018 sebagai ketua jurulatih.
Di peringkat kelab, Cheng Hoe turut mencipta kejayaan apabila membimbing Kedah menjuarai Liga Perdana 2015 sebelum merangkul Piala Malaysia 2016 dan Piala Sumbangsih 2017.
Selepas meninggalkan Kedah, beliau mengendalikan Selangor FC dari 2022 hingga 2024 sebelum menerima cabaran bersama kelab Thailand, Police Tero FC.
Pada April 2025, Cheng Hoe kembali menyertai FAM sebagai Pengarah Teknikal Pasukan Kebangsaan, sekali gus memainkan peranan penting dalam pembangunan bola sepak negara.
Pelantikan beliau sebagai ketua jurulatih interim dilihat mampu memberi kestabilan kepada Harimau Malaya sementara FAM menilai calon terbaik bagi mengisi jawatan ketua jurulatih secara tetap.
FAM yakin pengalaman serta hubungan rapat Cheng Hoe dengan pemain tempatan akan membantu skuad kebangsaan meningkatkan prestasi dalam menghadapi kejohanan akan datang. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM