Jentera pacuan 4 roda Subaru Impreza WRX Version 8 menjadi taruhan Eastcoast Rallying - X-One Motorsports untuk berentap memburu kejuaraan Milleenium Iconic Rally 2026 yang dijadualkan bermula pada 26 Jun 2026 ini bertempat di Felda Tun Ghafar, Alor Gajah, Melaka.
Membuka tirai kalendar perlumbaan rali tanah air musim ini, pasukan rali yang berpangkalan dari Pantai Timur, Eastcoast Rallying menjalinkan kerjasama strategik bersama X-One Motorsports bagi memburu kejuaraan sulung untuk berentap di Rali Melaka – Milleenium Iconic Rally 2026 yang dijadualkan bermula pada Sabtu ini bertempat di di Alor Gajah, Melaka.
Kerjasama strategik ini dilihat mampu memberi impak positif dalam arena sukan permotoran rali tempatan yang masih menagih jumlah penyertaan dari pasukan-pasukan yang masih kompetitif untuk berentap memberi cabaran bagi setiap yang bertanding.
Ketua pasukan Eastcoast Rallying Ir. Ts. Muhammad Syakirin Razaki melihat kerjasama strategik ini tidak hanya untuk hadir memberi sokongan kepada penganjur malah memberi tambah nilai bagi pasukan untuk terus berdaya saing sama ada di arena perlumbaan tempatan mahupun antarabangsa.

“X-One Motorsports merupakan pasukan rali tempatan yang mempunyai pengalaman besar dalam perlumbaan rali tempatan mahupun antarabangsa. Pertukaran teknologi dan kepakaran di antara dua pasukan untuk memburu kejuaraan ini memberi tambah nilai buat masing-masing walaupun beraksi dalam satu pasukan.
“Untuk perlumbaan pertama musim ini, kita boleh lihat jumlah penyertaan bagi kategori pacuan 4 roda(4WD) di Melaka nanti semakin bertambah berbanding musim lalu. Ianya akan menambah cabaran buat setiap pasukan bertanding. Jalinan kerjasama ini tepat pada masanya untuk perlumbaan yang dijangka lebih sengit nanti,” ujar Ir. Ts. Muhammad Syakirin Razaki yang memulakan karier sebagai pelumba rali sejak 2017.
Manakala bagi Roduwan Rashid yang hadir dengan reputasi tersendiri selaku dua kali juara rali kebangsaan melihat peluang ini tidak seharusnya dilepaskan untuk membuka tirai perlumbaan musim ini.
“Momentum terbaik untuk kami kembali ke litar ‘gravel’ ini setelah terhenti sewaktu pandemik COVID-19 yang lalu dan kami melihat kerjasama di antara dua pasukan ini memberi peluang sama rata untuk sama-sama memburu kejuaraan nanti,” jelas Roduwan Rashid yang juga merupakan ketua pasukan X-One Motorsports yang telah mewarnai arena perlumbaan rali tempatan mahupun antarabangsa sejak 2009.
Sebanyak 22 pasukan pasukan telah mengesahkan penyertaan untuk berentap di Felda Tun Ghafar, Alor Gajah, Melaka pada Sabtu ini bagi dua hari perlumbaan yang dijadualkan melabuhkan tirai pada 28 Jun 2026 ini.