LOS ANGELES – Impian Afrika Selatan untuk menurunkan pemain tengah berpengaruh, Themba Zwane dalam aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia FIFA 2026 berkecai selepas rayuan mereka ditolak.
Keputusan FIFA itu menyaksikan Zwane kekal menjalani penggantungan tiga perlawanan dan tidak dapat diturunkan ketika Bafana Bafana berdepan tuan rumah bersama, Kanada pada Ahad ini.
Zwane dikenakan hukuman tersebut selepas dilayangkan kad merah ketika aksi pembukaan Kumpulan A menentang Mexico. Persatuan Bola Sepak Afrika Selatan (SAFA) sebelum ini mengemukakan rayuan dengan alasan hukuman berkenaan terlalu berat berbanding kesalahan dilakukan.
Dalam kenyataan rasmi, SAFA melahirkan rasa kecewa terhadap keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang mengekalkan hukuman tersebut.
Ketiadaan pemain berusia 36 tahun itu memaksa jurulatih Hugo Broos merancang strategi tanpa kelibat tonggak kreatif berkenaan dalam aksi kalah mati pertama mereka.
Bagaimanapun, Afrika Selatan menerima sedikit kelegaan apabila pemain tengah, Teboho Mokoena kembali memperkuatkan pasukan selepas selesai menjalani penggantungan satu perlawanan.
Afrika Selatan mara ke pusingan 32 terbaik selaku naib juara Kumpulan A dengan mengumpul empat mata, termasuk kemenangan penting 1-0 ke atas Korea Selatan yang mengesahkan kemaraan mereka.
Selepas tamat aksi kumpulan, skuad Bafana Bafana kembali ke kem latihan di Pachuca sebelum berlepas ke Los Angeles bagi menghadapi Kanada.
Kanada pula mara selaku naib juara Kumpulan B di belakang Switzerland dan dijangka mendapat sokongan padu penyokong sendiri.
Tanpa Zwane, harapan Afrika Selatan kini tertumpu kepada Mokoena untuk mengemudi jentera tengah sambil mengharapkan disiplin pertahanan yang membawa mereka melepasi saingan peringkat kumpulan mampu sekali lagi menghadirkan kejutan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AFP