ASSEN, Belanda – Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli meneruskan rentak cemerlang apabila mengesahkan tempat secara automatik ke sesi kelayakan kedua (Q2) selepas menamatkan sesi Latihan (Practice) di kedudukan ke-13 pada pusingan ke-10 Kejuaraan Motosikal Dunia Moto3 2026 di Litar TT Assen, hari ini.
Mewakili pasukan AEON Credit–MT Helmets–MSi, Hakim yang membuat penampilan kompetitif pertama di litar ikonik itu pantas menyesuaikan diri meskipun Assen terkenal sebagai antara litar paling teknikal dan mencabar dalam kalendar MotoGP.
Pada sesi Latihan Bebas 1 (FP1), pelumba berusia 18 tahun itu memberi tumpuan untuk mempelajari karakter litar selain mengumpul data jentera sebelum menamatkan sesi di tempat ke-11 menerusi catatan masa terbaik 1 minit 41.449 saat, hanya 0.580 saat di belakang pendahulu.
Hakim kemudian terus meningkatkan prestasinya dalam sesi Practice sebelah petang ketika perebutan tiket automatik ke Q2 berlangsung sengit.
Bagaimanapun, percubaan terakhirnya untuk mencatat masa lebih pantas tidak kesampaian apabila bendera kuning dikibarkan susulan kemalangan membabitkan Casey O’Gorman di selekoh pertama.
Situasi itu menyebabkan Hakim tidak dapat melengkapkan pusingan terakhirnya, namun catatan terpantas 1:41.640 yang dilakukan lebih awal sudah memadai untuk meletakkannya di tangga ke-13 keseluruhan, 0.722 saat di belakang pelumba terpantas, sekali gus melayakkannya terus ke Q2 tanpa perlu mengharungi Q1.
Keputusan tersebut meneruskan momentum positif Hakim selepas mencipta kemenangan sulung dalam saingan Moto3 di Brno minggu lalu, sekali gus membuktikan dia semakin mampu bersaing dengan kelompok pelumba terbaik dunia.
Aksi di Assen akan diteruskan esok dengan Hakim dijadualkan mengharungi sesi Latihan Bebas 2 (FP2) sebelum kembali beraksi dalam sesi kelayakan Q2 bagi menentukan kedudukan petak permulaan perlumbaan Dutch TT pada Ahad. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ZK Racing