SEREMBAN – Negeri Sembilan FC (NSFC) secara rasmi melantik jurulatih dari Sepanyol, Daniel Giménez Alcañiz sebagai ketua jurulatih baharu pasukan bagi menghadapi saingan Liga Super Malaysia musim 2026/2027.
Pemegang Lesen UEFA Pro itu diberi tanggungjawab untuk menerajui projek pembangunan skuad Hobin Jang Hobin dengan membawa pengalaman lebih sedekad mengendalikan pasukan di Eropah, Asia dan Afrika.
Sepanjang karier kejurulatihannya, Daniel pernah membimbing beberapa kelab ternama termasuk Al Ahed FC, Al Nejmeh SC, Akhaa Al Ahly FC, Al Hilal (Sudan), Modern Sport FC (Mesir), Al-Nasr Club (Oman) selain pernah mengendalikan skuad bawah 17 tahun Lubnan.
Antara pencapaian terbaiknya ialah membawa Al Ahed FC muncul juara Piala AFC 2019, selain membantu Al Hilal menjuarai Liga Perdana Sudan. Musim lalu, beliau turut membawa Al-Nasr menamatkan saingan di tempat ketiga Liga Profesional Oman sekali gus melayakkan kelab itu ke Piala Juara-Juara Kelab Arab.
Pengerusi NSFC, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun berkata, pelantikan Daniel dibuat selepas proses penilaian menyeluruh bagi memastikan individu yang dipilih selari dengan hala tuju jangka panjang kelab.
“Kami amat gembira mengalu-alukan kehadiran Daniel Giménez Alcañiz ke Negeri Sembilan FC. Selepas melalui proses penilaian yang menyeluruh, kami percaya beliau adalah individu paling sesuai untuk menerajui projek bola sepak yang sedang kami bangunkan.
“Bukan sahaja pengalaman luas di pelbagai negara dan pertandingan antarabangsa yang menjadi pertimbangan, malah falsafah bola sepaknya juga selari dengan identiti Negeri Sembilan FC yang mahu membentuk pasukan berani, moden, berdisiplin dari segi taktikal serta memberi peluang kepada pemain muda berkembang,” katanya.
Menurut Aminuddin, Daniel turut mempunyai rekod cemerlang dalam membangunkan bakat muda dan memaksimumkan potensi pemain, sesuatu yang menjadi teras perancangan jangka panjang kelab.
Beliau yakin pengalaman, kepakaran serta kepimpinan jurulatih berusia 41 tahun itu mampu membantu NSFC mencapai sasaran dan mengembalikan status pasukan sebagai pencabar utama dalam saingan bola sepak tempatan.
Daniel dijangka memulakan tugasnya dalam masa terdekat, manakala barisan kejurulatihan yang akan membantunya bakal diumumkan oleh pihak kelab kemudian. Pelantikannya turut membuka lembaran baharu buat Hobin Jang Hobin yang berharap sentuhan jurulatih dari Sepanyol itu mampu membawa kejayaan pada kempen Liga Super 2026/2027. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Al Ahed FC