TORONTO – Senegal menghidupkan peluang mara ke pusingan 32 terbaik selepas membelasah Iraq 5-0 dalam aksi terakhir Kumpulan I Piala Dunia 2026 di Stadium Toronto awal pagi tadi.
Kemenangan bergaya itu menyaksikan skuad digelar The Lions of Teranga menamatkan saingan di tempat ketiga kumpulan, namun nasib mereka untuk layak masih bergantung kepada keputusan beberapa lagi kumpulan yang belum melengkapkan aksi masing-masing.
Buat masa ini, Senegal menghuni tangga kelima dalam kedudukan pasukan tempat ketiga terbaik, sekali gus masih berpeluang mengesahkan tiket ke pusingan kalah mati sekiranya keputusan lain memihak kepada mereka.
Sebaliknya, Iraq menutup kempen Piala Dunia dengan penuh kekecewaan apabila tewas dalam ketiga-tiga perlawanan kumpulan di bawah kendalian Graham Arnold.
Lebih memeritkan, kekalahan itu menyaksikan Iraq terus gagal meraih sebarang mata dalam sejarah penampilan mereka di pusingan akhir Piala Dunia, selain merekodkan enam kekalahan berturut-turut daripada enam perlawanan keseluruhan.
Pada masa sama, kemenangan 5-0 itu turut melakar sejarah apabila menjadi kemenangan dengan jaringan terbesar pernah dicatatkan oleh sebuah negara dari Afrika dalam saingan Piala Dunia. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AP Photo