Barisan pemain pasukan Terengganu giat membuat persiapan akhir untuk bertemu Johor di bagi menamatkan kempen kejuaraan ragbi Piala Agong edisi ke-42 pada Ahad ini(28 Jun 2026) bertempat di Stadium UITM Shah Alam.
Rekod tanpa kalah sepanjang musim kejuaraan ragbi Piala Agong edisi ke-42 musim ini bakal menjadi taruhan akhir buat Terengganu untuk kembali memburu kejuaraan kali kedua, manakala Johor perlu menamatkan kekecewaan setelah dua kali berturut-turut terkandas di pentas akhir perebutan piala paling berprestij ini yang dijadualkan berlangsung pada Ahad ini bertempat di Stadium UITM, Shah Alam.
Menambah menarik, perhintungan akhir buat kedua-dua pasukan ini juga mencipta tumpuan tersendiri di mana Terengganu mempertaruhkan anak jati negeri untuk mengemudi pasukan manakala Johor masih menagih percaturan bekas kapten pasukan All Black, Rodney So’oialo yang perlu melunaskan kejuaraan sejak membimbing pasukan untuk musim kedua ini.
Bagi Hafiizh Zainal, yang juga bekas pemain kebangsaan, rekod dan pencapaian sepanjang musim tidak lagi membawa sebarang kelebihan apabila kedua-dua pasukan melangkah ke pentas penentuan.
“Situasi berbeza untuk Terengganu walaupun kedua-dua pasukan ini mara ke pusingan akhir dengan rekod tanpa kalah sepanjang kempen musim ini. Kami tidak meletakkan situasi itu sebagai kayu ukuran bertemu Johor yang hadir dengan reputasi besar dan kelebihan yang tersendiri berbanding kami yang bermula selaku pasukan bukan pilihan untuk musim ini.
“Johor berhempas pulas setelah dua kali mara ke penentuan akhir sebelum ini. Kita menjangkakan tekanan buat kedua-dua pasukan seawal minit pertama permainan nanti, sudah tentu setiap pasukan mempertaruhkan taktikal berbeza untuk perlawanan akhir ini,” katanya
Hafiizh Zainal turut mengesahkan skuad Pantai Timur itu berada pada tahap kesiapsiagaan terbaik tanpa sebarang kekangan yang akan merencatkan taktikal pasukan untuk aksi 80 minit permainan nanti.
Perlawanan akhir edisi ke-42 ini dijadual berlangsung pada jam 4.45 petang Ahad ini, manakala perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat antara PDRM dan Kelantan akan berlangsung lebih awal pada jam 2 petang di Stadium UITM, Shah Alam.
Terdahulu sewaktu penentuan separuh akhir, Terengganu membuat kejutan setelah menyingkirkan PDRM selaku juara bertahan tiga kali berturut-turut, manakala Johor pula mengatasi cabaran Kelantan untuk mengesahkan penampilan ketiga berturut-turut di pentas akhir bagi musim ini.
Untuk rekod, kali terakhir kedua-dua finalis ini kali terakhir bertembung di pentas akhir kejuaraan ragbi Piala Agong adalah pada tahun 2017 setelah Johor menafikan Terengganu di laman sendiri berkeputusan 32-29. Johor telah pernah dua kali merangkul kejuaraan pada tahun 2013 dan 2017 manakala untuk Terengganu pertama kali melakar sejarah kejuaraan pada tahun 2019. – DETIK MALAYSIA