GUADALAJARA – Sepanyol mengesahkan status sebagai juara Kumpulan H selepas menewaskan Uruguay 1-0 dalam aksi penuh fizikal pada saingan terakhir peringkat kumpulan Piala Dunia 2026 awal pagi tadi.
Kemenangan itu menyaksikan skuad La Roja menamatkan saingan dengan tujuh mata sekali gus mara ke pusingan 32 terbaik selaku juara kumpulan, manakala Uruguay tersingkir selepas sekadar menduduki tangga ketiga.
Aksi di Stadium dipenuhi terjahan keras dan kekasaran apabila Uruguay memilih pendekatan agresif bagi menghalang corak permainan hantaran pantas Sepanyol.
Anak buah Luis de la Fuente berdepan tekanan sepanjang babak pertama, namun tetap berjaya mengawal permainan meskipun sering diasak lawan.
Bintang muda sensasi, Lamine Yamal sekali lagi mencuri perhatian apabila beberapa kali memperdayakan pertahanan Uruguay biarpun dikawal ketat.
Menyedari corak permainan lawan yang lebih fizikal, De la Fuente membuat perubahan dengan menurunkan Mikel Merino dan Marcos Llorente bagi menambah kekuatan di bahagian tengah.
Uruguay yang dibimbing Marcelo Bielsa hampir berjaya mengekang serangan Sepanyol sebelum kesilapan penjaga gol berpengalaman, Fernando Muslera mengubah hala tuju perlawanan.
Beberapa minit sebelum tamat separuh masa pertama, rembatan Ćlex Baena yang kelihatan mudah gagal ditangkap kemas Muslera sebelum bola terlepas masuk ke gawang untuk menghadiahkan gol pendahuluan kepada Sepanyol.
Malang buat Uruguay apabila pemain tengah, Manuel Ugarte turut mengalami kecederaan dalam situasi sama dan terpaksa dikeluarkan sebelum rehat.
Muslera kemudian digantikan pada permulaan babak kedua selepas kesilapan besarnya itu.
Uruguay menggandakan asakan selepas rehat, namun barisan pertahanan Sepanyol kekal ampuh mengekang setiap percubaan lawan.
Sepanyol hampir menambah jaringan menerusi Ferran Torres, namun percubaannya sekadar menggegar palang gol.
Uruguay turut bernasib baik apabila NicolƔs de la Cruz terlepas daripada dilayangkan kad merah meskipun melakukan terjahan berbahaya pada penghujung perlawanan.
Keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat, sekali gus memastikan Sepanyol mara ke pusingan kalah mati dengan rekod tanpa kalah dalam saingan kumpulan.
Bagi Uruguay pula, kekalahan itu menutup kempen Piala Dunia 2026 lebih awal daripada jangkaan selepas gagal memanfaatkan peluang yang dimiliki serta dihukum akibat kesilapan Muslera. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – RFEF