HOUSTON – Cape Verde melakar sejarah terbesar bola sepak negara itu apabila mengesahkan tempat ke pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 selepas seri tanpa jaringan dengan Arab Saudi dalam aksi terakhir Kumpulan H awal pagi tadi.
Keputusan itu sudah memadai buat pasukan yang membuat penampilan sulung di pentas Piala Dunia itu untuk mara selaku naib juara kumpulan dengan tiga mata, meskipun tidak mencatat sebarang kemenangan sepanjang saingan peringkat kumpulan.
Sebaliknya, Arab Saudi menamatkan kempen di tangga tercorot dengan dua mata, sekali gus tersingkir bersama Uruguay yang turut mengumpul dua mata. Sepanyol muncul juara kumpulan dengan tujuh mata.
Memburu kemenangan bagi menghidupkan peluang ke pusingan kalah mati, Arab Saudi memulakan aksi dengan lebih agresif, namun berdepan benteng pertahanan Cape Verde yang cukup tersusun.
Arab Saudi menerima tamparan awal apabila Saud Abdulhamid menjadi pemain pertama dilayangkan kad kuning seawal minit keempat selepas melakukan terjahan lewat.
Kapten Salem Al-Dawsari beberapa kali cuba menggerakkan jentera serangan, namun gagal menembusi kekebalan pertahanan lawan yang beraksi penuh disiplin.
Peluang terbaik skuad Green Falcons hadir pada masa kecederaan babak pertama menerusi tandukan Mohammed Kanno, namun penjaga gol Cape Verde, Vozinha cemerlang menepis percubaan tersebut.
Malang buat Arab Saudi apabila pertahanan Hassan Tambakti terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan pada minit ke-32.
Bersambung babak kedua, Arab Saudi terus menguasai permainan, namun masih gagal mencari gol yang amat diperlukan.
Cape Verde sesekali mengancam menerusi Deroy Duarte yang melepaskan rembatan jarak jauh pada minit ke-57, namun percubaannya tersasar.
Vozinha sekali lagi muncul wira apabila menyelamatkan percubaan deras pemain gantian Mohammed Abu Al-Shamat pada minit ke-67 untuk memastikan gawangnya terus kebal.
Cape Verde hampir mencuri tiga mata menjelang penghujung perlawanan menerusi rembatan Garry Rodrigues, namun percubaannya sempat disekat pertahanan Arab Saudi.
Keputusan seri 0-0 kekal sehingga wisel penamat, sekali gus mencetuskan kegembiraan pemain dan penyokong Cape Verde yang meraikan kejayaan bersejarah mara ke pusingan kalah mati buat kali pertama.
Lebih manis, Cape Verde layak ke pusingan 32 terbaik tanpa memenangi sebarang perlawanan dalam saingan Kumpulan H.
Bagi Arab Saudi, kempen Piala Dunia kali ketujuh mereka berakhir dengan kekecewaan apabila gagal melepasi saingan kumpulan, meskipun negara itu bakal menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – SAFF