NEW YORK – England mengesahkan status selaku juara Kumpulan L selepas menewaskan Panama 2-0 pada aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Dunia 2026 awal pagi tadi.
Dua jaringan pada babak kedua menerusi Jude Bellingham dan Harry Kane sudah cukup untuk memastikan skuad kendalian Thomas Tuchel melangkah ke pusingan 32 terbaik dengan bergaya, selain mengekalkan rekod tanpa bolos dalam dua perlawanan berturut-turut.
England mendominasi permainan sejak wisel permulaan dengan Marcus Rashford, Bukayo Saka dan Kane kerap mengancam kubu Panama.
Bagaimanapun, penjaga gol Panama, Orlando Mosquera muncul wira pasukannya pada separuh masa pertama apabila beberapa kali menggagalkan percubaan berbahaya England.
Panama turut mencipta beberapa peluang menerusi serangan balas pantas dengan JosĂ© RodrĂguez hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-26, namun percubaannya berjaya diselamatkan Jordan Pickford sebelum Carlos Harvey melepaskan rembatan yang hanya tersasar tipis.
Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.
England akhirnya memecahkan kebuntuan pada minit ke-62 apabila sepakan penjuru Saka berjaya disudahkan Bellingham menerusi tandukan kemas untuk menewaskan Mosquera.
Lima minit kemudian, Bellingham sekali lagi menjadi pencetus apabila hantaran tepatnya ke dalam kotak penalti disempurnakan Kane untuk meledak gol kedua England.
Mendahului dua gol membolehkan Tuchel merehatkan beberapa tonggak utama sebagai persiapan menghadapi aksi kalah mati.
England terus menguasai permainan dan hampir menambah jaringan menerusi Rashford, Noni Madueke serta Eberechi Eze, namun keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Panama yang terus berjuang hampir memperoleh gol saguhati menerusi Ismael DĂaz dan Michael Murillo, namun Pickford kekal cemerlang di gawang.
Malah, jaringan José Fajardo pada masa kecederaan turut dibatalkan selepas dia didapati berada dalam kedudukan ofsaid.
Kemenangan itu memastikan England menamatkan saingan sebagai juara Kumpulan L sekali gus membawa bekalan keyakinan tinggi ke pusingan 32 terbaik.
Bagi Panama, kekalahan tersebut menutup kempen Piala Dunia 2026 tanpa sebarang mata, namun mereka tetap mempamerkan semangat juang tinggi sebelum akur dengan kelebihan kualiti dimiliki England. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FA