SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) akan menggerakkan kempen kesedaran di seluruh negara bagi mendesak isu operasi Kilang Lynas di Kuantan diberi perhatian lebih serius oleh pihak berkuasa dan semua pihak berkaitan.
Presidennya, Mohd. Azmi Abd. Hamid berkata, pihaknya memandang serius kebimbangan yang dibangkitkan pelbagai pihak sejak cadangan pembinaan kilang itu, khususnya melibatkan aspek keselamatan alam sekitar dan kesihatan awam.
Menurut beliau, selepas meneliti perkembangan semasa, Mapim berpendapat kebimbangan rakyat adalah berasas serta memerlukan tindakan yang lebih tegas daripada pihak bertanggungjawab.
“Kebelakangan ini, Mapim turut menerima desakan daripada pelbagai pihak supaya isu ini diberikan keutamaan.
“Malah, Sidang Kepimpinan Pendekar Pensilat Mapim yang menghimpunkan wakil beberapa negeri turut sebulat suara menggesa agar usaha advokasi berkaitan isu Lynas dipergiatkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Azmi berkata, Mapim sebelum ini telah beberapa kali mengadakan pertemuan rasmi dengan Kedutaan Australia di Kuala Lumpur, termasuk menyerahkan nota bantahan berhubung operasi Lynas.
Katanya, dalam pertemuan itu, pelbagai isu teknikal dan kebimbangan awam telah dikemukakan dengan sokongan pandangan sekumpulan saintis yang bekerjasama dengan Mapim.
“Bagaimanapun, sehingga kini kami berpandangan isu-isu utama yang dibangkitkan masih belum mendapat penyelesaian yang memuaskan.
“Justeru, MAPIM menggesa pihak Lynas serta semua pihak berkaitan supaya memberikan perhatian lebih serius terhadap kebimbangan rakyat,” ujarnya.
Beliau berkata, kempen kesedaran nasional itu akan dilaksanakan menerusi siri penerangan kepada masyarakat, pengumpulan tandatangan rakyat serta pelbagai program advokasi yang berlandaskan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.
Tambahnya, semua tindakan yang dirancang akan dijalankan secara aman, berhemah dan bertanggungjawab selaras dengan prinsip demokrasi serta hak rakyat untuk menyuarakan pandangan mengenai isu kepentingan awam.
“Keselamatan rakyat, kelestarian alam sekitar dan maruah negara bukanlah suatu pilihan, tetapi merupakan amanah yang wajib dipertahankan oleh semua,” katanya. – DETIK MALAYSIA