MIAMI – Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni, dilaporkan hampir pasti kekal mengemudi juara dunia itu sehingga 2031 selepas mencapai persetujuan lisan dengan Persatuan Bolasepak Argentina (AFA).
Perkembangan itu hadir ketika La Albiceleste sedang bersiap sedia menghadapi aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 menentang Cape Verde di Miami dalam misi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi di Qatar empat tahun lalu.
Menurut wartawan ESPN Mundial, Diego Monroig, rundingan antara wakil Scaloni dan AFA telah berlangsung sebelum skuad Argentina berlepas ke Amerika Syarikat, dengan kedua-dua pihak mencapai persetujuan secara lisan untuk melanjutkan kontrak.
“AFA sememangnya mahu Scaloni terus kekal sebagai ketua jurulatih selama mungkin.
“Berdasarkan maklumat yang saya terima, kedua-dua pihak tiba di Piala Dunia dengan persetujuan lisan bahawa Scaloni akan terus membimbing Argentina sehingga 2031,” katanya.
Bagaimanapun, pengendali berusia 53 tahun itu dikatakan mahu segala urusan rasmi kontrak ditangguhkan sehingga tamat kempen Piala Dunia bagi memastikan fokus pasukan tidak terganggu.
Scaloni, yang mengambil alih Argentina pada 2018, bakal mencatat penampilan ke-100 sebagai ketua jurulatih apabila turun menentang Cape Verde.
Sepanjang 99 perlawanan sebelum ini, beliau merekodkan 72 kemenangan, 18 keputusan seri dan hanya sembilan kekalahan.
Lebih membanggakan, Scaloni berjaya menamatkan kemarau kejuaraan utama Argentina dengan menghadiahkan empat trofi berprestij iaitu Copa America 2021, Finalissima 2022, Piala Dunia Qatar 2022 dan Copa America 2024.
Jika perjanjian itu dimeterai secara rasmi selepas kejohanan, Scaloni dijangka terus membimbing Argentina sehingga menghadapi kempen Piala Dunia 2030 sekali gus meneruskan era gemilang yang sedang dinikmati gergasi Amerika Selatan itu. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FIFA