BOSTON – Paraguay mencipta antara kejutan terbesar dalam sejarah moden Piala Dunia apabila menyingkirkan gergasi Eropah, Jerman menerusi penentuan penalti 4-3 pada aksi pusingan 32 terbaik awal pagi tadi.
Kejayaan itu menyaksikan Paraguay menamatkan rekod kebal Jerman dalam penentuan penalti di pentas Piala Dunia, selain melakar kemenangan pertama mereka dalam aksi kalah mati kejohanan tersebut.
Jerman yang berada 22 anak tangga di atas Paraguay dalam ranking dunia dikejutkan menerusi jaringan awal Julio Enciso sebelum Kai Havertz menyamakan kedudukan menerusi tandukan kemas.
Kedua-dua pasukan gagal menambah jaringan sepanjang baki permainan dan masa tambahan, sekali gus memaksa perlawanan ditentukan menerusi sepakan penalti.
Jerman hampir meraih kemenangan apabila Jonathan Tah menjaringkan gol menerusi tandukan, namun jaringan itu dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) atas sebab kekasaran dalam gerakan tersebut.
Pada penentuan penalti, Paraguay lebih tenang untuk menang 4-3 sekali gus mengesahkan kemaraan bersejarah ke pusingan 16 terbaik.
Kemenangan itu turut menandakan antara kejutan paling besar pada edisi Piala Dunia kali ini apabila juara dunia empat kali itu terpaksa mengucapkan selamat tinggal lebih awal.
Paraguay kini menanti pemenang pertembungan antara Perancis dan Sweden di Philadelphia pada 4 Julai bagi merebut tiket ke suku akhir. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Getty Images