KUALA LUMPUR – Petarung wanita negara, Jihin ‘Shadow Cat’ Radzuan kembali memburu kemenangan ke atas Itsuki ‘Android 18’ Hirata dalam aksi ulangan pada ONE Samurai 4 di Ariake Arena, Tokyo, 17 Oktober ini.
Pertemuan dalam kategori atomweight MMA wanita itu menjadi peluang buat Jihin untuk mengulangi kejayaan ke atas bintang Jepun terbabit, selain membuka laluan kembali ke persaingan merebut Kejuaraan Dunia ONE Women’s Atomweight MMA yang kini kosong.
Empat tahun lalu, Jihin mengejutkan Hirata pada ONE X 2022 menerusi kemenangan keputusan berpecah selepas tiga pusingan sengit.
Ketika itu, Hirata hadir dengan rekod sempurna 4-0 dalam ONE Championship serta reputasi sebagai pakar judo dan grappling, namun Jihin berjaya mengekang percubaan balingan lawannya, melepaskan diri daripada situasi berbahaya dan menggunakan serangan tepat untuk mengganggu rentak petarung Jepun tersebut.
Kemenangan itu kekal antara pencapaian terbesar Jihin sepanjang kariernya dalam ONE Championship.
Kini, selepas empat tahun, Jihin mempunyai peluang membuktikan kemenangan berkenaan bukan sekadar kejutan dalam satu pertarungan.
Petarung kelahiran Johor Bahru itu hadir dengan rekod profesional 10-5 dan mengumpul sembilan kemenangan dalam ONE Championship sejak membuat penampilan sulung pada 2018.
Selain pernah menewaskan bekas pencabar kejuaraan dunia, Mei ‘V.V’ Yamaguchi, Jihin turut berdepan beberapa nama ternama seperti bekas juara, Denice ‘The Menace’ Zamboanga, bekas juara tiga sukan, Stamp Fairtex dan pencabar dari Jepun, Chihiro Sawada.
Pengalaman berdepan barisan petarung elit itu menjadikan Jihin lebih matang serta mampu menyesuaikan corak pertarungan mengikut gaya lawan.
Perkembangan tersebut turut terserlah ketika beraksi pada ONE Fight Night 40, Februari lalu apabila Jihin menewaskan pendatang baharu promosi, Gabriela ‘Gabi’ Fujimoto menerusi kemenangan henti pertarungan pada pusingan ketiga.
Kejayaan itu turut menamatkan rekod tanpa kalah Fujimoto.
Bagaimanapun, Jihin hadir ke Tokyo dengan misi menebus kekalahan terbaharu selepas tewas tipis kepada Anastasia ‘Anniemale’ Nikolakakos menerusi keputusan berpecah pada ONE Fight Night 45, Julai lalu.
Kemenangan ke atas Hirata bukan sahaja mampu mengubat kekecewaan tersebut, malah berpotensi mengembalikan nama Jihin dalam radar perebutan kejuaraan dunia.
Dengan gelaran atomweight dunia yang masih kosong, kemenangan ke atas Hirata tepat pada masanya buat Jihin untuk kembali mengukuhkan kedudukannya sebagai antara petarung berbahaya dalam divisyen berkenaan. – DETIK MALAYSIA
