KUALA LUMPUR – Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memutuskan Negeri Sembilan FC diberikan kemenangan percuma 3-0 ke atas Kuala Lumpur City FC selepas pasukan itu gagal memenuhi aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pada 22 Ogos lalu.
Keputusan itu turut menyaksikan KL City dikenakan denda RM50,000 selain perlu menanggung bayaran pampasan dan kos lain yang ditentukan MFL.
Lembaga Pengarah MFL membuat keputusan itu selepas meneliti laporan perubatan, rekod pendaftaran pemain, peraturan pertandingan serta dokumen dikemukakan pihak berkaitan.
Perlawanan berkenaan pada asalnya ditangguhkan selepas KL City memaklumkan kepada MFL pada pukul 12.40 tengah hari, 22 Ogos lalu bahawa 13 pemain dan dua pegawai pasukan disahkan menghidap influenza.
Bagaimanapun, Negeri Sembilan kemudiannya mengemukakan bantahan rasmi dan meminta MFL menyemak semula status perlawanan berdasarkan peraturan pertandingan.
Dalam mesyuarat khas, MFL turut meneliti laporan perubatan hospital kerajaan bertarikh 24 Ogos 2026 yang dikemukakan KL City.
Hasil penelitian mendapati kegagalan KL City menurunkan pasukan bukan semata-mata disebabkan wabak influenza, sebaliknya turut berpunca daripada kegagalan kelab memastikan jumlah pemain berdaftar mencukupi.
Menurut MFL, sistem pendaftaran MyPAS menunjukkan KL City hanya mendaftarkan 12 pemain pada 22 Ogos lalu, terdiri daripada 11 pemain outfield dan seorang penjaga gol.
Keadaan itu melanggar Artikel 4.5.7(i) Peraturan Pertandingan Liga Malaysia 2026/27 yang menetapkan setiap kelab perlu mendaftarkan antara 15 hingga 20 pemain dalam Team List, termasuk sekurang-kurangnya dua penjaga gol.
MFL turut memaklumkan pekeliling bertarikh 29 Jun lalu mewajibkan setiap kelab Liga Super mempunyai sekurang-kurangnya 20 pemain berdaftar, termasuk tiga penjaga gol, sebelum aksi liga pertama.
Selain itu, KL City didapati gagal mematuhi Artikel 3.1.3 Peraturan Teknikal Rasmi yang menetapkan kelab melengkapkan Team Selection List dengan jumlah pemain dan pegawai yang diperlukan.
MFL berkata, Unit Pelesenan Kelab dan First Instance Body (FIB) juga sebelum ini berulang kali mengingatkan KL City supaya menyelesaikan denda yang dikenakan FIFA.
Kegagalan menyelesaikan perkara itu menyebabkan kelab berkenaan dikenakan sekatan pendaftaran pemain antarabangsa, sekali gus menjejaskan proses pendaftaran pemain bagi musim 2026/27.
Dalam pada itu, MFL menolak permohonan KL City untuk menangguhkan aksi seterusnya menentang Kuching City FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, esok.
Sekiranya KL City sekali lagi gagal hadir, Kuching City akan diberikan kemenangan 3-0 serta tiga mata, manakala KL City berdepan denda RM50,000.
Keputusan terbaharu itu sekali gus memberikan tiga mata percuma kepada Negeri Sembilan dan menamatkan kontroversi berhubung perlawanan yang tidak berlangsung pada 22 Ogos lalu. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – MFL
