Seramai 32 peserta menyertai kelas berkenaan termasuk 10 peserta dari Singapura yang mengikuti latihan berkaitan teknologi pengawetan makanan menggunakan kaedah retort.
JOHOR BAHRU – Kesedaran terhadap aspek keselamatan makanan dan pengurusan bajet dapur perlu diberi perhatian dalam kalangan isi rumah bagi mengelakkan pembaziran makanan serta memastikan stok makanan disimpan dengan kaedah yang sesuai.
Tenaga Pengajar, Mohd Johari Yasin berkata, pengetahuan mengenai kaedah pengawetan dan penyimpanan makanan penting supaya isi rumah dapat mengurus stok makanan dengan lebih teratur tanpa mengabaikan aspek keselamatan.
Menurutnya, peserta turut didedahkan kepada asas penyediaan makanan, pembungkusan vakum serta penggunaan mesin retort termasuk tetapan suhu dan tekanan yang betul.
“Kaedah penyimpanan makanan perlu dilakukan mengikut proses dan parameter yang sesuai bagi mengurangkan risiko keselamatan makanan.
“Pada masa sama, kemahiran ini boleh membantu keluarga merancang penyediaan stok makanan mengikut keperluan dan mengurangkan pembaziran,” katanya ketika ditemui pada Kelas Revolusi Dapur Xpert Retort di Johor Bahru baru-baru ini.
Seramai 32 peserta menyertai kelas berkenaan termasuk 10 peserta dari Singapura yang mengikuti latihan berkaitan teknologi pengawetan makanan menggunakan kaedah retort.
Peserta turut didedahkan kepada proses penyediaan bahan mentah, pembungkusan vakum serta pengendalian mesin retort untuk penyimpanan makanan basah dan kering.
Program berkenaan turut menyatakan modul pembelajaran yang digunakan mendapat pengesahan daripada Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Latihan tersebut dikendalikan oleh Mohd Johari bersama Hernina Dahalan yang membimbing peserta mengenai proses pengendalian makanan dan penggunaan teknologi retort.
Pendekatan itu memberi penekanan kepada pengetahuan praktikal berkaitan pengurusan stok makanan di rumah, khususnya dari aspek penyimpanan dan perancangan penggunaan makanan. – DETIK MALAYSIA
