SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengecam tindakan terbaharu pentadbiran Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan terhadap Presiden Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Hakim Tomoko Akane dan peguam kanan perbicaraan ICC, Abdoulaye Seye.
Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid menyifatkan sekatan itu sebagai tindakan tidak masuk akal dan membimbangkan dalam usaha mengugut institusi kehakiman antarabangsa yang bebas serta menghalang usaha mendapatkan pertanggungjawaban terhadap jenayah paling serius di bawah undang-undang antarabangsa.
Menurutnya, ICC sendiri menyifatkan sekatan berkenaan sebagai serangan terang-terangan terhadap kebebasan mahkamah.
“Apabila hakim, pendakwa raya dan pegawai undang-undang diancam atau dihukum kerana menjalankan tanggungjawab kehakiman, kesannya melangkaui individu terbabit.
“Kredibiliti keseluruhan sistem perundangan antarabangsa turut terancam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Azmi berkata, AS tidak mempunyai asas moral atau undang-undang untuk mendakwa dirinya sebagai pembela aturan antarabangsa berasaskan peraturan, namun pada masa sama menggunakan tekanan ekonomi dan politik terhadap mahkamah antarabangsa yang mempunyai mandat menyiasat dan mendakwa individu yang dituduh melakukan genosid, jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang.
Katanya, MAPIM amat bimbang sekatan terbaharu AS itu dibuat dalam konteks tindakan ICC berkaitan situasi di Palestin serta dakwaan jenayah antarabangsa serius yang berlaku sepanjang perang di Gaza.
“Perkara yang disampaikan Washington amat berbahaya, iaitu keadilan antarabangsa diterima hanya apabila ia memenuhi kepentingan negara berkuasa, tetapi menjadi sasaran hukuman apabila menyiasat sekutu atau pegawai mereka.
“Ini tidak boleh diterima. Undang-undang antarabangsa tidak boleh beroperasi berdasarkan kepentingan politik,” katanya.
Beliau berkata, ICC ditubuhkan kerana mangsa jenayah antarabangsa paling serius memerlukan saluran keadilan apabila sistem nasional tidak bersedia atau tidak mampu menyediakan pertanggungjawaban sebenar.
“Justeru, kebebasan ICC perlu dilindungi daripada tekanan politik, ancaman dan tindakan balas,” katanya.
Dalam pada itu, MAPIM mengalu-alukan pendirian berprinsip yang dinyatakan Jepun, Kesatuan Eropah (EU) dan Perancis dalam mempertahankan kebebasan ICC.
Mohd Azmi berkata, sokongan itu perlu diterjemahkan kepada tindakan diplomatik yang konkrit.
Sehubungan itu, MAPIM menggesa negara yang mendakwa komited terhadap undang-undang antarabangsa supaya mengutuk secara terbuka sekatan AS terhadap pegawai ICC dan menolak usaha mengugut atau memanipulasi mahkamah berkenaan secara politik.
Selain itu, katanya, negara terbabit perlu mempertahankan kebebasan ICC serta memastikan hakim, pendakwa raya dan kakitangannya dapat menjalankan tugas tanpa paksaan luar.
MAPIM turut menyeru supaya tekanan AS terhadap negara untuk menarik diri daripada ICC ditolak, selain memperkukuh kerjasama antarabangsa dengan mahkamah berkenaan khususnya dalam kes melibatkan dakwaan genosid, jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang.
“MAPIM juga menyeru agar hak mangsa dan mangsa yang terselamat, termasuk mangsa Palestin, untuk mendapatkan keadilan melalui mekanisme antarabangsa yang sah dilindungi.
“Langkah diplomatik dan undang-undang yang bersesuaian juga perlu dipertimbangkan terhadap negara atau pihak yang sengaja menghalang keadilan antarabangsa atau mengancam kebebasan kehakiman,” katanya.
Menurut Mohd Azmi, MAPIM turut menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan negara anggotanya melihat tindakan intimidasi sistematik terhadap ICC sebagai isu yang membabitkan integriti sistem perundangan antarabangsa itu sendiri.
“Tiada negara, tanpa mengira kekuatan ketenteraan, ekonomi atau politik, seharusnya berada di atas undang-undang antarabangsa.
“Jika sekatan boleh dikenakan terhadap hakim dan pendakwa raya hanya kerana siasatan mereka mengancam kepentingan politik pihak berkuasa, dunia berisiko kembali kepada aturan antarabangsa yang membolehkan pihak berkuasa menentukan siapa yang boleh didakwa dan siapa yang dilindungi daripada pertanggungjawaban,” katanya.
Katanya, keadaan itu akan menjadi pengkhianatan besar terhadap mangsa jenayah perang dan genosid di seluruh dunia.
“MAPIM menggesa pertahanan global lebih kukuh terhadap ICC serta pelaksanaan undang-undang antarabangsa secara konsisten tanpa dwistandard.
“Washington tidak seharusnya dibenarkan menggunakan kuasa ekonominya untuk melemahkan keadilan antarabangsa. AS sendiri perlu dipertanggungjawabkan dari segi politik dan diplomatik terhadap tindakan yang menghalang serta melemahkan fungsi institusi kehakiman antarabangsa yang bebas,” katanya. – DETIK MALAYSIA
