KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa organisasi antarabangsa bertindak segera bagi memastikan pembebasan Dr. Mazen Rantisi, 71, yang didakwa terus ditahan dan dilayan secara buruk oleh pihak berkuasa Israel.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Dr. Rantisi yang dikenali sebagai ‘doktor orang miskin’ ditahan dalam serbuan tentera Israel sebelum subuh di kediamannya di kejiranan Al-Tireh, Ramallah pada 21 Jun lalu.
Menurut beliau, keluarga dan wakil guaman Dr. Rantisi mendakwa beliau berdepan layanan merendahkan maruah, kekurangan makanan, akses tidak teratur kepada ubat-ubatan penting serta pengabaian perubatan serius.
“Dr. Rantisi menghidap beberapa penyakit kronik dan sebarang penafian atau gangguan terhadap ubat yang dipreskripsikan boleh meletakkan kesihatan serta nyawanya dalam bahaya segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MAPIM berkata, Dr. Rantisi selama beberapa dekad berkhidmat kepada keluarga berpendapatan rendah, masyarakat luar bandar dan rakyat Palestin yang tidak mampu mendapatkan rawatan perubatan.
Beliau dilaporkan mengenakan bayaran minimum untuk konsultasi, mengecualikan bayaran bagi pesakit miskin serta menanggung sendiri kos ubat-ubatan mereka.
MAPIM turut mendakwa Dr. Rantisi berdepan pertuduhan berkaitan kedudukannya sebagai Pengerusi Lembaga Kesatuan Jawatankuasa Kerja Kesihatan (UHWC), sebuah organisasi perubatan Palestin yang menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat terpinggir dan kurang mendapat perkhidmatan.
Menurut MAPIM, penetapan organisasi masyarakat sivil Palestin sebagai entiti tidak sah atau ‘pengganas’ oleh Israel tidak boleh diterima secara automatik sebagai asas yang sah untuk penahanan atau layanan buruk.
“Dakwaan sedemikian mesti disokong bukti yang boleh dipercayai, tertakluk kepada penelitian kehakiman bebas dan melalui prosiding yang memenuhi piawaian perbicaraan adil antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, MAPIM berkata maklumat yang disampaikan Dr. Rantisi kepada seorang peguam daripada Public Committee Against Torture in Israel menimbulkan kebimbangan serius mengenai keadaan tahanannya.
Beliau dilaporkan tidak menerima makanan sepanjang tiga hari pertama tahanan sebelum diberikan hidangan yang tidak mencukupi, terdiri daripada sebiji tomato, telur yang separuh masak dan sekeping roti.
Dr. Rantisi turut mendakwa tahanan dipaksa melutut dalam keadaan tangan digari, dipukul ketika pemeriksaan sel serta dipaksa tidur di atas tilam basah selepas pengawal penjara menyembur air ke arah mereka.
MAPIM berkata dakwaan itu memerlukan siasatan segera dan tidak boleh dianggap sebagai aduan terpencil.
Pertubuhan itu turut menggesa akses segera dan tanpa gangguan kepada ubat-ubatan, pemeriksaan serta rawatan perubatan yang diperlukan Dr. Rantisi selain akses untuk keluarga, peguam dan profesional perubatan bebas.
MAPIM juga menyeru Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) diberikan akses kepada Dr. Rantisi serta semua tahanan Palestin di penjara dan pusat tahanan tentera Israel.
Selain itu, MAPIM menggesa siasatan antarabangsa bebas dijalankan terhadap dakwaan penyeksaan, serangan fizikal, penafian makanan, pengabaian perubatan dan layanan merendahkan maruah yang didakwa dialami Dr. Rantisi serta tahanan lain.
MAPIM turut menyeru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ICRC, World Medical Association serta pelapor khas PBB berkaitan hak asasi manusia, penyeksaan, kesihatan dan pembela hak asasi manusia supaya campur tangan segera.
Pada masa sama, MAPIM menggesa Malaysia mengemukakan tuntutan diplomatik rasmi bagi pembebasan segera Dr. Rantisi serta membawa kes berkenaan ke PBB, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan forum antarabangsa lain.
“Penahanan seorang doktor berusia 71 tahun yang terkenal kerana merawat golongan miskin menghantar mesej yang membimbangkan kepada masyarakat Palestin bahawa mereka yang merawat orang sakit dan membantu golongan rentan juga boleh menjadi sasaran.
“Doktor tidak seharusnya dihukum kerana merawat golongan miskin. Khidmat kemanusiaan tidak seharusnya menjadi alasan untuk penganiayaan,” katanya.
MAPIM turut menegaskan larangan terhadap penyeksaan serta layanan kejam, tidak berperikemanusiaan atau merendahkan maruah adalah mutlak.
“Setiap tahanan mesti dilayan secara berperikemanusiaan, menerima rawatan perubatan yang diperlukan dan dilindungi daripada keganasan serta penghinaan,” katanya.
MAPIM berkata pihaknya berdiri teguh bersama Dr. Rantisi, keluarganya, pesakit serta komuniti penjagaan kesihatan Palestin dan menuntut tindakan segera sebelum lebih banyak kemudaratan menimpanya.
“Bebaskan Dr. Mazen Rantisi segera. Lindungi doktor dan petugas kesihatan Palestin. Hentikan penyeksaan, pengabaian perubatan dan penahanan sewenang-wenangnya,” katanya. – DETIK MALAYSIA
