KUALA LUMPUR – Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) mengenakan hukuman terhadap lima pemain dan tiga pegawai skuad sepak takraw kebangsaan Thailand berhubung tindakan meninggalkan perlawanan akhir ISTAF Sepaktakraw World Cup Kuala Lumpur 2026.
Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader, berkata Panel Pendengaran Tatatertib ISTAF bersidang pada 10 Ogos lalu di The Grand FourWings Convention Hotel, Bangkok, bagi mendengar kes berhubung tindakan meninggalkan perlawanan akhir berkenaan.
Perlawanan itu dihentikan dan ditamatkan kira-kira pukul 12.05 tengah malam pada 24 Mei lalu.
Menurut Abdul Halim, kesemua lapan individu terbabit didapati bersalah.
Tiga pemain utama iaitu Phutawan Sopa (jersi No. 1), Wichan Temkort (jersi No. 20) dan Jakkrit Thinbangbon (jersi No. 14) masing-masing didenda AS$6,000 (RM25,000).
Dua pemain simpanan, Sittipong Khamchan (jersi No. 18) dan Chattuphon Siriart (jersi No. 8), masing-masing dikenakan denda AS$5,000 (RM21,000).
Sementara itu, dua jurulatih iaitu Narachit Kalachan (jurulatih kebangsaan) dan Sahachat Sakhoncharoen (penolong jurulatih) masing-masing didenda AS$8,000 (RM34,000).
Pengurus pasukan, Auychai Srisuwan pula dikenakan denda AS$10,000 (RM42,000).
Kesemua hukuman penggantungan terhadap lapan individu terbabit telah pun dijalani.
Abdul Halim berkata, berdasarkan Peraturan Prosedur Tatatertib ISTAF, kegagalan menjelaskan denda dalam tempoh 14 hari selepas menerima notis hukuman boleh menyebabkan individu terbabit digantung antara satu hingga dua tahun.
Keputusan itu ditandatangani pada 11 Ogos lalu oleh anggota Panel Pendengaran Tatatertib ISTAF yang terdiri daripada wakil lima negara.
Abdul Halim turut memaklumkan rayuan boleh dibuat dalam tempoh 14 hari selepas menerima notis hukuman, dengan bayaran fi rayuan sebanyak AS$500 (RM2,100). – DETIK MALAYSIA
