SHAH ALAM – Titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang menyeru masjid dan surau di negeri itu memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan ummah dan masyarakat perlu dihayati semua pihak.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya menyambut baik dan menghargai titah baginda berhubung perkara berkenaan.
Menurut beliau, titah baginda bahawa 700 masjid dan 1,773 surau di Perak tidak seharusnya menjadi ‘gajah tidur’ merupakan peringatan penting kepada seluruh institusi masjid.
“Masjid perlu dihidupkan sebagai pusat kecemerlangan ummah yang dinamik, responsif dan dekat dengan realiti kehidupan masyarakat.
“Masjid tidak wajar dilihat hanya sebagai tempat menunaikan solat dan mengikuti kelas agama, sebaliknya perlu berfungsi sebagai pusat ilmu, pendidikan, pembangunan keluarga, kebajikan, ekonomi, pembinaan generasi muda serta pengukuhan kehidupan sosial masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Azmi berkata, masjid juga perlu menjadi institusi yang memahami denyut nadi komuniti termasuk tidak menutup mata terhadap isu kemiskinan, pengangguran, masalah keluarga, keciciran pendidikan, kesihatan, ketagihan dan kesunyian warga emas.
Katanya, MAPIM menyokong gagasan supaya masjid menyediakan ruang untuk kaunseling keluarga, aktiviti kanak-kanak dan belia, pendidikan masyarakat, pembangunan keusahawanan serta bantuan kebajikan.
“Lebih penting, masjid perlu mengambil peranan dalam isu strategik masyarakat seperti keterjaminan makanan, penjagaan alam sekitar dan kesihatan.
“Masjid mempunyai kekuatan jaringan akar umbi yang luas dan boleh menjadi pusat penyelarasan tindakan masyarakat dalam menghadapi cabaran tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, ukuran kejayaan sesebuah masjid tidak seharusnya hanya dilihat daripada jumlah jemaah ketika waktu solat atau jumlah program yang dianjurkan.
Sebaliknya, katanya, persoalan lebih penting ialah sejauh mana masjid memberi kesan kepada kehidupan masyarakat dan sejauh mana masyarakat merasakan masjid benar-benar menjadi rumah mereka.
Menurutnya, titah Sultan Perak itu juga wajar dijadikan pencetus kepada satu anjakan paradigma dalam pengurusan masjid di seluruh negara.
“Masjid perlu bergerak daripada pendekatan pengurusan rutin kepada pendekatan pembangunan komuniti yang mempunyai visi, data, perancangan, jaringan kerjasama dan ukuran impak yang jelas.
“MAPIM percaya masjid yang benar-benar hidup ialah masjid yang hidup bersama masyarakatnya. Ia menjadi tempat mencari ketenangan, ilmu, pertolongan, penyelesaian masalah, pembinaan ekonomi dan pengukuhan ukhuwah,” katanya.
Sehubungan itu, MAPIM menyeru seluruh pengurusan masjid di Malaysia supaya menjadikan titah Sultan Perak berkenaan sebagai dorongan untuk melakukan muhasabah dan pembaharuan sempena Hari Masjid Sedunia dan menjelang Persidangan Masjid Serantau 2026.
“Masjid perlu kembali menjadi pusat peradaban ummah: hidup dengan solatnya, hidup dengan ilmunya, hidup dengan kebajikannya, hidup dengan ekonominya dan hidup bersama masyarakat yang dinaunginya,” katanya. – DETIK MALAYSIA
