KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mahu syarat dan garis panduan pentadbiran MyKAS diperkemas supaya individu tanpa kewarganegaraan (stateless) yang memenuhi kriteria mempunyai ruang untuk dipertimbangkan mendapatkan dokumen pengenalan diri rasmi.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya tidak pernah menuntut supaya MyKAS diberikan secara automatik kepada semua individu yang mendakwa diri mereka stateless.
Sebaliknya, katanya, MHO telah mengemukakan cadangan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) supaya syarat, prosedur dan garis panduan berkaitan MyKAS ditambah baik bagi membolehkan kes yang mempunyai latar belakang berbeza dinilai secara sewajarnya.
“MHO ingin menarik perhatian bahawa Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 sendiri mempunyai peruntukan berkaitan individu yang taraf kewarganegaraannya tidak dapat ditentukan.
“Di bawah Peraturan 5(3)(c)(ii), bagi seseorang yang dilahirkan di Malaysia tetapi taraf kewarganegaraannya tidak dapat ditentukan, kad pengenalan hendaklah mempunyai jalur berwarna hijau dengan perkataan ‘PEMASTAUTIN SEMENTARA’,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, peruntukan itu menunjukkan sistem pendaftaran negara mengiktiraf kewujudan keadaan apabila taraf kewarganegaraan seseorang tidak dapat ditentukan.
Katanya, MHO tidak mempertikaikan dasar kewarganegaraan negara, sebaliknya mahu mekanisme pentadbiran yang jelas dan adil diwujudkan bagi menilai kes individu berdepan isu statelessness secara kes demi kes.
Antara cadangan dikemukakan MHO kepada JPN ialah melonggarkan syarat permohonan MyKAS supaya kewujudan maklumat atau identiti ibu bapa tidak dengan sendirinya menyebabkan permohonan tidak dipertimbangkan.
Selain itu, MHO mencadangkan penilaian berdasarkan keadaan sebenar pemohon, garis panduan khusus berkaitan statelessness, mekanisme penilaian kes demi kes, saluran rayuan dan semakan semula serta pindaan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan dalaman MyKAS.
Hishamuddin berkata, cadangan itu bukan bertujuan memberikan kewarganegaraan Malaysia secara automatik kerana MyKAS merupakan dokumen pengenalan diri bagi kategori pemastautin sementara dan bukan bukti kewarganegaraan Malaysia.
“Apa yang MHO perjuangkan adalah supaya individu yang benar-benar tidak mempunyai kewarganegaraan tidak terus berada dalam keadaan tanpa identiti rasmi dan dokumentasi yang diiktiraf hanya kerana terdapat kekangan dalam proses pentadbiran.
“Ketiadaan dokumen pengenalan memberi kesan besar kepada kehidupan seseorang termasuk akses kepada pendidikan, pekerjaan, rawatan kesihatan, perkhidmatan kewangan dan perlindungan undang-undang,” katanya.
Dokumentasi stateless bukan perkara asing
Mengulas mekanisme dokumentasi golongan stateless di negara lain, Hishamuddin berkata pendekatan itu bukan perkara asing di peringkat antarabangsa.
Katanya, terdapat negara yang menjadi pihak kepada Konvensyen 1954 mengenai Status Orang Tanpa Kewarganegaraan dan Konvensyen 1961 mengenai Pengurangan Tanpa Kewarganegaraan, selain negara yang bukan pihak kepada kedua-dua konvensyen tetapi tetap mempunyai mekanisme domestik berkaitan isu berkenaan.
Menurutnya, United Kingdom, Perancis dan Sweden misalnya menyediakan mekanisme tertentu bagi individu stateless, manakala Thailand dan Kyrgyzstan turut mempunyai kerangka undang-undang serta pentadbiran bagi menangani isu status undang-undang golongan terbabit.
“Perbandingan ini menunjukkan keahlian kepada konvensyen antarabangsa bukan satu-satunya asas bagi sesebuah negara untuk membangunkan mekanisme domestik berkaitan statelessness.
“Negara yang bukan pihak juga boleh memperkukuh undang-undang, dasar dan mekanisme pentadbiran berdasarkan keperluan serta keadaan domestik,” katanya.
Dalam konteks Malaysia, Hishamuddin berkata walaupun negara belum menjadi pihak kepada kedua-dua konvensyen berkenaan, perkara itu tidak seharusnya menghalang penambahbaikan mekanisme domestik sedia ada.
Kad Stateless MHO bukan pengganti MyKAS
Dalam pada itu, beliau menegaskan Kad Stateless yang dikeluarkan MHO bukan kad rasmi kerajaan, bukan dokumen pengenalan yang dikeluarkan agensi kerajaan dan bukan pengganti MyKAS.
Katanya, kad berkenaan diwujudkan sebagai program bantuan MHO untuk mengumpul maklumat, menjalankan semakan dan saringan awal serta mengenal pasti kes berpotensi mempunyai isu statelessness bagi diberikan bantuan lanjut.
“Pemilikan Kad Stateless MHO tidak bermaksud seseorang individu akan secara automatik mendapat MyKAS.
“Sebarang keputusan berhubung pengeluaran MyKAS kekal di bawah bidang kuasa kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan, tertakluk kepada undang-undang, peraturan dan garis panduan yang berkuat kuasa,” katanya.
Beliau berkata, MHO membantu dari sudut semakan dokumen, nasihat undang-undang, pengurusan kes dan advokasi berdasarkan fakta serta keadaan setiap kes.
Katanya, Kad Stateless MHO juga bukan pengesahan muktamad bahawa seseorang itu merupakan stateless, sebaliknya sebahagian daripada mekanisme bantuan dan saringan dalaman pertubuhan berkenaan.
MHO turut menyokong peringatan pihak kedutaan di Tawau, Sabah supaya orang ramai tidak terpedaya dengan mana-mana pihak yang menawarkan atau menjanjikan kelulusan MyKAS dengan bayaran tertentu.
“MHO tidak pernah mendakwa Kad Stateless yang dikeluarkan merupakan dokumen kerajaan, tidak mempunyai kuasa menentukan kelayakan MyKAS dan tidak pernah menjamin pemegang kad akan diberikan MyKAS.
“MHO akan terus membawa perkara ini kepada pihak berkuasa dan agensi kerajaan berkaitan bagi mendapatkan penambahbaikan terhadap mekanisme dan garis panduan sedia ada,” katanya. – DETIK MALAYSIA
