Dr. Solehah Yaacob
GOMBAK – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menjelaskan perkhidmatan Dr. Solehah Yaacob sebagai kakitangan akademik di universiti itu telah berakhir pada 27 April lalu.
Sehubungan itu, UIAM memaklumkan Dr. Solehah tidak lagi memegang jawatan sebagai profesor di universiti berkenaan atau mewakili UIAM dalam apa-apa perjawatan.
Dalam kenyataan hari ini, UIAM turut menegaskan penggunaan sebarang gelaran, jawatan, kulliyyah, pusat, institut, jabatan atau apa-apa bentuk afiliasi rasmi dengan universiti itu adalah tidak dibenarkan.
Menurut kenyataan itu, penggunaan gelaran atau perjawatan yang berkait dengan UIAM juga tidak dibenarkan dalam bahan promosi, pelaporan media, penerbitan, pengiklanan, kandungan media sosial, bahan publisiti atau hebahan lain.
Larangan berkenaan terpakai sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.
“UIAM berharap penjelasan yang diberikan dapat mengelakkan kekeliruan demi menjaga integriti dan kesarjanaan akademia,” menurut kenyataan itu. – DETIK MALAYSIA
