Prof Md Amin (tiga dari kiri) bersama Danish (tengah) serta keluarganya bergambar di lapangan olahraga Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.
Oleh Bazli Razak
SERDANG – Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff tidak dapat menyembunyikan rasa sebak dan terharu apabila atlet olahraga universiti itu, Danish Iftikhar Muhammad Roslee, mengalungkan tiga pingat emas yang dimenanginya pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
Menerusi perkongsian di Facebook, Prof Md Amin berkata momen berkenaan berlaku ketika beliau hadir di lapangan olahraga SUKMA 2026 di Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi memberikan sokongan kepada kontingen olahraga Perak, yang mana UPSI dilantik sebagai agensi angkat kontingen berkenaan.
Menurut beliau, ketika sedang beramah mesra dengan pegawai Majlis Sukan Negara (MSN), beliau disapa dari belakang oleh Danish, atlet Negeri Johor yang juga mahasiswa UPSI dan muncul sebagai antara bintang olahraga paling menyerlah pada temasya itu.
āSaya dakap mesra beliau sambil ucapkan tahniah. Tidak habis-habis beliau ucapkan terima kasih kepada UPSI kerana menjaga beliau dengan baik.
āKemudiannya beliau berbisik pada saya, āDato tunggu tau, tiga pingat emas menanti Datoā,ā katanya menerusi perkongsian itu.
Md Amin berkata kira-kira 15 minit kemudian, ibu Danish datang menyerahkan sebuah beg kertas kepadanya yang mengandungi tiga pingat emas serta maskot SUKMA.
Beliau berkata Danish kemudian menjelaskan bahawa kemenangan itu tidak sempurna sekiranya Md Amin tidak melihat sendiri pingat yang dimenanginya sebelum meminta izin untuk mengalungkan ketiga-tiga pingat berkenaan kepada Naib Canselor UPSI itu sebagai tanda penghargaan.
āTerkedu saya, bergenang juga air mata, tetapi saya cuba mengawal perasaan kerana ramai orang di sekeliling yang melihat,ā katanya.
Menurut Prof Md Amin, beliau tersentuh dengan tindakan Danish yang disifatkannya sebagai satu bentuk penghargaan yang amat besar, walaupun sumbangan yang diberikannya kepada atlet berkenaan kecil.
Beliau berkata satu persatu pingat itu dikalungkan Danish sambil menyebut, āIni emas 100 meter, ini emas 200 meter dan ini emas 4×100 meter.ā
āRamai sudah atlet yang saya usahakan kejayaan mereka di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa, namun tidak pernah saya dimuliakan sebegini.
āKecil sahaja sumbangan saya untuk Danish, namun penghargaannya terlalu menggunung,ā katanya.
Danish sebelum ini mencipta kejayaan cemerlang pada SUKMA Selangor 2026 apabila meraih tiga pingat emas menerusi acara 100 meter, 200 meter dan 4×100 meter, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara raja pecut temasya berkenaan.
Prof Md Amin turut menitipkan nasihat kepada Danish supaya terus merendah diri, menghargai serta mentaati kedua-dua ibu bapanya kerana restu dan keberkatan mereka merupakan antara resipi utama kejayaan seseorang.
āSaya titipkan agar beliau tidak lupa diri, ikut resmi padi, hargai dan patuh pada kedua-dua ibu bapa kerana inilah resipi kejayaan sebenar. – DETIK MALAYSIA
