JOHOR BAHRU – Johor Darul Ta’zim (JDT) menggalas dua misi penting apabila berdepan Kuching City pada aksi Piala Sultan Haji Ahmad Shah (Piala Sumbangsih) 2026/27, malam ini.
Ketua jurulatih JDT, Xisco Muñoz berkata, selain mempertahankan trofi, perlawanan itu turut membuka peluang buat Harimau Selatan mencipta sejarah dalam bola sepak.
“Esok (malam ini) penting untuk dua perkara. Pertama, kami mempunyai satu trofi dan kedua, kami boleh mencipta sejarah bola sepak.
“Esok (malam ini) adalah hari istimewa buat kelab, penyokong dan semua yang menyokong kami sejak 12 tahun lalu,” katanya.
JDT hadir ke perlawanan pembuka tirai musim baharu dengan rekod tanpa kalah dalam Liga Super yang menghampiri 109 perlawanan, sekali gus membuka peluang mencatat pencapaian bersejarah.
Bagaimanapun, Xisco tidak mahu pemainnya terpengaruh dengan tekanan serta perhatian terhadap rekod berkenaan.
“Apabila anda memakai logo JDT, anda tahu ada tekanan dan tuntutan yang tinggi dalam semua perkara. Ini sesuatu yang luar biasa.
“Apabila permainan bermula, mereka perlu melupakan semua itu dan bermain seperti yang mereka tahu. Itu paling penting,” katanya.
Mengulas cabaran Kuching City, pengendali dari Sepanyol itu mengakui lawan mereka bukan mudah untuk ditundukkan berdasarkan pertemuan sebelum ini.
“Sudah pasti esok adalah perlawanan sukar. Perlawanan terakhir kami menentang mereka juga sangat sukar.
“Mereka mempunyai struktur pertahanan yang sangat baik dan memahami dengan baik bagaimana melakukan serangan balas kerana mempunyai pemain yang berkualiti,” katanya.
Menurut Xisco, Kuching City turut memiliki kelebihan dalam aspek fizikal, perebutan bola dan situasi bola mati.
“Mereka kuat, menguruskan perebutan bola dengan baik dan mempunyai keupayaan untuk melakukan transisi,” katanya.
Justeru, Xisco menyifatkan aksi berkenaan sebagai perlawanan akhir meskipun ia merupakan perlawanan pertama musim ini.
“Ia perlawanan pertama, tetapi penting untuk kita faham ia adalah satu final.
“Kami perlu memberikan 100 peratus yang ada dalam diri kami,” katanya.
Sementara itu, penyerang JDT, Bergson da Silva berkata, peluang mengekalkan rekod tanpa kalah serta memburu satu lagi trofi menjadi motivasi tambahan buat pasukan.
“Setiap perlawanan memberikan perasaan berbeza. Esok kami mempunyai tambahan motivasi untuk mengekalkan rekod dan memburu satu lagi trofi.
“Kami tidak mempunyai sebab untuk risau mengenai perkara lain. Kami ada mentaliti dan perancangan sendiri,” katanya.
Bergson turut berharap penyokong JDT memenuhi stadium bagi memberikan sokongan pada perlawanan pertama musim ini.
“Kami harap semua penyokong datang dan memberikan sokongan sejak perlawanan pertama.
“Esok adalah hari penting, perkara penting dan perlawanan penting buat kami,” katanya.
Dalam pada itu, Xisco turut menyentuh mengenai beberapa pemain Kuching City yang berstatus pinjaman daripada JDT.
Bagaimanapun, beliau enggan menjadikan perkara itu sebagai tumpuan utama sebaliknya menegaskan aspek keselamatan dan integriti pemain perlu diutamakan.
“Perkara paling penting ialah kami perlu mengutamakan keselamatan dan integriti pemain,” katanya.
Dengan Piala Sumbangsih menjadi trofi pertama yang dipertaruhkan musim ini, JDT bukan sahaja mahu memulakan kempen dengan kemenangan, malah berpeluang melakar satu lagi detik bersejarah jika rekod tanpa kalah mereka dapat diteruskan.
“Kami mempunyai suasana yang baik di stadium, sokongan penyokong dan pemain. Sudah pasti kami memberikan 100 peratus untuk mengambil satu langkah ke hadapan,” kata Xisco. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – MFL
