SEREMBAN – Negeri Sembilan FC (NSFC) menuntut kemenangan secara walkover selepas kecewa dengan keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menangguhkan aksi pembukaan Unifi Liga Super 2026/27 menentang Kuala Lumpur City FC (KL City).
Dalam satu kenyataan rasmi, NSFC berkata keputusan penangguhan dibuat pada saat akhir sekali gus mengecewakan kelab itu selepas segala persiapan bagi perlawanan berkenaan sudah diselesaikan.
Sebagai pasukan tuan rumah, NSFC memaklumkan persiapan membabitkan logistik, kemudahan stadium, petugas perubatan dan keselamatan sudah disediakan sepenuhnya.
Menurut kelab itu, keputusan pada saat akhir berkenaan turut menyebabkan kos pengurusan yang besar selain menjejaskan perancangan ribuan penyokong.
Berdasarkan rekod dan pertanyaan yang diterima kelab, kira-kira 5,000 penyokong sudah membeli tiket dan membuat persiapan untuk hadir ke stadium sebelum perlawanan ditangguhkan.
NSFC berkata maklumat lanjut berkaitan pemulangan wang tiket serta status tiket yang sudah dibeli akan diumumkan menerusi saluran rasmi kelab.
Bagaimanapun, tuntutan paling tegas NSFC adalah supaya MFL memberikan kemenangan walkover kepada mereka.
Kelab itu menegaskan penangguhan berkenaan berlaku di luar kawalan NSFC dan bukan disebabkan sebarang tindakan atau kegagalan pihaknya.
“NSFC dengan tegas menuntut kemenangan walkover diberikan kepada Negeri Sembilan FC.”
Dalam pada itu, NSFC memaklumkan pasukan tetap akan menggunakan kemudahan yang sudah disediakan dengan mengadakan sesi latihan terbuka di stadium.
Penyokong turut dijemput menghadiri sesi berkenaan sebagai tanda penghargaan atas sokongan berterusan mereka, selain mengubati kekecewaan selepas aksi Liga Super yang dinanti-nantikan itu dibatalkan.
NSFC turut memohon maaf kepada penyokong yang sudah mengatur jadual serta melakukan perjalanan bagi memberikan sokongan kepada pasukan.
Kelab berkenaan menegaskan komitmennya untuk mempertahankan kepentingan NSFC dan penyokongnya, selain akan meneruskan tindakan berkaitan menerusi saluran yang sewajarnya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – NSFC
