KUALA LUMPUR – Perpecahan dalam kalangan orang Melayu dilihat antara faktor yang menyumbang kepada ketidakstabilan politik negara sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018.
Sehubungan itu, Prof. Dr. H. Kamari Kasan daripada MMGI–UNIMEL mencadangkan kerjasama strategik berasaskan perpaduan Melayu dan kesejahteraan semua kaum bagi mewujudkan kestabilan politik serta memperkukuh ekonomi negara.
Beliau berkata, cadangan berkenaan bukan bertujuan memberi keuntungan kepada mana-mana parti, sebaliknya berteraskan keadilan dan kemakmuran seluruh rakyat Malaysia dengan berpandukan al-Quran, Perlembagaan Persekutuan dan prinsip ekonomi berkelanjutan.
Menurutnya, perpaduan umat Melayu perlu dilihat sebagai usaha memperkukuh kestabilan negara dan bukan untuk menindas kaum lain.
“ Kita bukan mahu Melayu berkuasa menindas orang lain. Kita mahu Melayu bersatu supaya negara stabil. Bila negara stabil, ekonomi berkembang dan semua kaum makmur,” katanya dalam cadangan bertarikh 25 Ogos 2026.
Beliau turut menegaskan bahawa sebarang bentuk kerjasama politik perlu menghormati Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 3 berkaitan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, Perkara 152 mengenai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Perkara 153 berkaitan kedudukan istimewa orang Melayu serta hak sah kaum lain.
Dalam cadangan itu, kerjasama politik dicadangkan mengikut keadaan setiap negeri.
Bagi negeri majoriti Melayu seperti Johor, Negeri Sembilan, Perak, Pahang, Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis, model kerjasama melibatkan UMNO-BN, Pas dan Wawasan, manakala suara bukan Melayu diangkat melalui BN termasuk MCA, MIC dan parti berkaitan.
Sementara itu, bagi negeri yang mempunyai kepelbagaian penduduk tinggi seperti Selangor, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan, kerjasama dicadangkan membabitkan UMNO-BN, PKR dan Amanah dalam Pakatan Harapan (PH), dengan suara bukan Melayu diangkat melalui PH.
Katanya, fokus kerjasama di negeri majoriti Melayu adalah memperkukuh kedudukan Islam dan hak Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan, selain pembangunan ekonomi luar bandar serta pendidikan Islam dan moral.
Bagi negeri yang mempunyai kepelbagaian penduduk tinggi pula, tumpuan diberikan kepada pembangunan bandar, pelaburan, perdagangan dan keharmonian kaum tanpa menjejaskan kedudukan Islam, bahasa Melayu serta hak istimewa orang Melayu.
Cadangan itu turut menggariskan tiga fasa pelaksanaan, bermula dengan dialog dan pembinaan kepercayaan dalam tempoh satu hingga tiga bulan.
Fasa kedua melibatkan kerjasama di peringkat negeri dalam tempoh tiga hingga enam bulan, manakala fasa ketiga ialah pembentukan kerangka nasional dalam tempoh enam hingga 12 bulan.
Antara cadangan utama pada fasa terakhir ialah penubuhan Majlis Perpaduan Nasional yang merangkumi semua gabungan negeri bagi membantu menjaga kestabilan di peringkat Persekutuan.
Dalam masa sama, beberapa batasan turut ditetapkan, antaranya Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dikompromi, pengurusan hutang negara perlu dilakukan secara telus dan perbelanjaan awam diaudit serta didedahkan kepada rakyat.
Cadangan itu juga menegaskan bahawa kerjasama politik tidak boleh digunakan untuk mengubah status Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu atau hak istimewa orang Melayu, selain menolak politik perkauman yang menindas mana-mana kaum.
“Ini bukan politik perkauman, sebaliknya politik keadilan berlandaskan al-Quran, Perlembagaan dan prinsip ekonomi yang benar,” katanya. – DETIK MALAYSIA
