KUALA LUMPUR – Malaysia perlu menghentikan amalan melantik ahli politik yang masih aktif sebagai pengerusi atau anggota lembaga pengarah institusi ekonomi kritikal negara bagi mengelakkan campur tangan politik dalam pengurusan institusi berkenaan.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pengalaman Lembaga Tabung Haji (TH) perlu dijadikan iktibar dalam usaha memperkukuh tadbir urus institusi ekonomi strategik negara.
Menurut beliau, laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan dan operasi TH mendapati beberapa keputusan penting institusi itu dalam tempoh yang disiasat, termasuk berkaitan hibah, bayaran haji dan Bantuan Kewangan Haji, dipengaruhi unsur politik.
“RCI turut menyatakan penglibatan ahli politik dalam pengurusan TH membuka ruang kepada campur tangan politik dalam proses membuat keputusan.
“Lebih penting, RCI secara khusus mengesyorkan supaya undang-undang dipinda bagi melarang ahli politik aktif daripada dilantik sebagai pengerusi atau anggota Lembaga TH serta anak syarikatnya,” katanya.
Beliau berkata, prinsip berkenaan wajar diperluaskan kepada semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan badan berkanun yang mempunyai kepentingan ekonomi strategik.
Katanya, institusi yang menguruskan dana rakyat dalam jumlah besar tidak seharusnya dijadikan tempat untuk memberikan ganjaran politik.
GLC bukan tempat ganjaran politik
Mohd Azmi berkata, GLC diwujudkan bagi memenuhi kepentingan ekonomi dan strategik negara, termasuk mengurus simpanan rakyat, dana persaraan, pelaburan nasional, pembangunan infrastruktur, tenaga, pengangkutan, telekomunikasi, perbankan, hartanah dan aset strategik negara.
Katanya, pelantikan ahli politik yang masih memegang kedudukan dalam parti bagi mengetuai institusi terbabit boleh menimbulkan beberapa risiko.
“Pertama, berlaku konflik antara kepentingan institusi dan kepentingan politik.
“Kedua, keputusan korporat boleh dilihat melalui lensa politik walaupun keputusan itu mungkin dibuat atas pertimbangan profesional.
“Ketiga, kebebasan pengurusan profesional boleh terganggu sekiranya terdapat tekanan daripada pihak yang mempunyai kepentingan politik,” katanya.
Menurut beliau, keyakinan rakyat terhadap institusi juga boleh terjejas apabila jawatan kanan dilihat sebagai sebahagian daripada sistem patronaj politik.
Malah katanya, golongan profesional yang mempunyai kepakaran sebenar berisiko diketepikan kerana pertimbangan hubungan politik.
Tabung Haji beri pengajaran besar
Mohd Azmi berkata, TH mempunyai kedudukan istimewa kerana membawa amanah ekonomi dan agama, selain menjadi tempat jutaan umat Islam menyimpan wang untuk menunaikan ibadah haji.
“Pada tahun kewangan 2025, TH mengumumkan agihan keuntungan 3.50 peratus bernilai RM3.22 bilion kepada lebih 9.7 juta pendeposit.
“Pendapatan pelaburannya mencecah RM4.64 bilion dan jumlah aset TH berada pada RM98.58 bilion,” katanya.
Beliau berkata, angka itu menunjukkan besarnya amanah yang dipikul TH dan institusi berkenaan tidak seharusnya dijadikan medan eksperimen politik.
Katanya, RCI turut menegaskan kelemahan tadbir urus, campur tangan politik dan kekurangan mekanisme semak dan imbang antara faktor yang menyumbang kepada kemelut kewangan TH sebelum pelaksanaan pelan pemulihan pada 2018.
“Kita tidak sepatutnya menunggu krisis kedua sebelum melakukan reformasi,” katanya.
Cadangan dasar nasional
Sehubungan itu, Mohd Azmi mencadangkan kerajaan memperkenalkan dasar nasional yang melarang ahli politik aktif daripada menjadi pengerusi atau anggota lembaga pengarah GLC, GLIC dan badan berkanun ekonomi yang dikategorikan sebagai institusi strategik atau kritikal.
Katanya, larangan itu sewajarnya meliputi individu yang memegang jawatan utama dalam parti politik, menjadi anggota badan pembuat keputusan utama parti, calon pilihan raya atau mempunyai kedudukan politik yang boleh menimbulkan konflik kepentingan nyata atau persepsi konflik kepentingan.
Bagaimanapun, beliau berkata, individu yang pernah berkecimpung dalam politik tidak seharusnya dihalang selama-lamanya daripada menyumbang kepada institusi negara.
“Bekas ahli politik yang telah meninggalkan politik aktif, mempunyai kepakaran berkaitan, bebas daripada konflik kepentingan dan melalui proses tapisan yang ketat masih boleh dipertimbangkan.
“Tetapi pertimbangannya mesti berdasarkan merit, bukan kedudukan politik terdahulu,” katanya.
Pelantikan berdasarkan kepakaran
Mohd Azmi berkata, pelantikan anggota lembaga juga perlu dibuat berdasarkan kepakaran yang relevan, termasuk perbankan, perniagaan, ekonomi, syariah, perundangan dan perakaunan.
Katanya, jawatan anggota lembaga tidak boleh dilihat sebagai jawatan kehormat kerana mereka bertanggungjawab terhadap strategi, risiko, integriti, prestasi, audit, pelaburan dan keselamatan aset organisasi.
“Kesilapan keputusan lembaga boleh menelan kos berbilion ringgit kepada negara,” katanya.
Beliau turut mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Pencalonan dan Pelantikan Bebas bagi GLC dan badan ekonomi kritikal untuk menilai calon berdasarkan pengalaman, kompetensi, integriti, rekod profesional, konflik kepentingan serta kepakaran sektor.
Katanya, senarai kemahiran yang diperlukan oleh sesuatu lembaga juga perlu dikenal pasti terlebih dahulu menerusi board skills matrix sebelum calon yang sesuai dicari.
Perlu tempoh bertenang
Mohd Azmi turut mencadangkan kerajaan mempertimbangkan tempoh bertenang atau cooling-off period bagi pemegang jawatan politik tertentu sebelum mereka boleh dilantik ke institusi ekonomi tertentu.
Menurut beliau, langkah itu penting bagi mengurangkan risiko konflik kepentingan selain melindungi individu terbabit daripada tuduhan bahawa jawatan korporat diterima sebagai balasan politik.
Beliau turut berpandangan Parlimen perlu memainkan peranan lebih besar dalam mengawasi pelantikan bagi institusi yang sangat strategik kepada negara.
Katanya, beberapa pelantikan utama boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk penelitian tanpa semestinya Parlimen menentukan calon yang perlu dilantik.
Reformasi tidak boleh terpilih
Mohd Azmi berkata, usaha melakukan reformasi institusi perlu dilaksanakan secara konsisten tanpa mengira parti yang sedang memerintah.
“Tidak wajar kita mengkritik pelantikan politik ketika parti lawan berkuasa tetapi mempertahankannya apabila parti sendiri berada dalam kerajaan.
“Jika suatu amalan salah dari sudut tadbir urus, ia tetap salah tanpa mengira siapa yang melakukannya,” katanya.
Beliau berkata, pada Mac 2026, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) dilaporkan menganggarkan terdapat 238 pelantikan politik dalam badan berkanun persekutuan dan lembaga GLC di bawah pentadbiran semasa.
Katanya, angka itu seharusnya mendorong kerajaan melakukan audit menyeluruh terhadap sistem pelantikan dan bukan sekadar mempertahankan setiap pelantikan secara individu.
“Reformasi sebenar bermaksud sanggup mengubah sistem walaupun perubahan itu mengehadkan kuasa pihak yang sedang memerintah,” katanya.
10 cadangan tindakan segera
Antara cadangan tindakan segera yang dikemukakan ialah:
- Mengisytiharkan dasar bahawa ahli politik aktif tidak akan dilantik sebagai pengerusi GLC, GLIC dan badan berkanun ekonomi kritikal.
- Melaksanakan audit nasional terhadap semua pelantikan lembaga sedia ada.
- Mengklasifikasikan institusi ekonomi strategik yang perlu bebas daripada pelantikan politik.
- Menetapkan kriteria minimum kompetensi dan integriti bagi setiap jawatan lembaga.
- Menubuhkan Jawatankuasa Pencalonan dan Pelantikan Bebas.
- Memperkenalkan board skills matrix bagi setiap institusi.
- Mewajibkan pengisytiharan konflik kepentingan.
- Memperkenalkan tempoh bertenang bagi pemegang jawatan politik tertentu.
- Mengukuhkan pengawasan Parlimen terhadap institusi ekonomi strategik.
- Meminda undang-undang berkaitan jika kuasa pelantikan kini terlalu tertumpu kepada seorang menteri.
Mohd Azmi berkata, laporan RCI Tabung Haji tidak sepatutnya berakhir sebagai dokumen sejarah yang disimpan di rak kerajaan, sebaliknya perlu menjadi pencetus kepada reformasi.
“Persoalannya bukan siapa ahli politik itu, tetapi mengapa institusi ekonomi rakyat perlu menanggung risiko campur tangan politik sejak awal.
“Dana rakyat bukan milik kerajaan yang sedang memerintah. GLC bukan milik parti. Institusi negara bukan harta politik.
“Ia amanah rakyat yang perlu diwariskan kepada generasi seterusnya dalam keadaan lebih kukuh daripada ketika kita menerimanya,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia memerlukan garis pemisah yang jelas antara kekuasaan politik dengan pengurusan aset ekonomi strategik negara.
“Jangan tunggu satu lagi institusi mengalami krisis sebelum kita bertindak.
“Ambil iktibar daripada Tabung Haji.
“Hentikan pelantikan ahli politik aktif dalam GLC dan institusi ekonomi kritikal negara,” katanya. – DETIK MALAYSIA
