KUALA NERUS – Seramai 360 peserta sekolah rendah dan menengah dari tiga negara bakal menyertai Southeast Asia Olympiad Championship and Cultural Heritage Workshop yang akan berlangsung pada 19 Ogos ini.
Persiapan bagi memastikan program berkenaan berjalan lancar kini hampir lengkap selepas mesyuarat akhir bersama rakan strategik dan agensi kerajaan terlibat diadakan di Bilik Akasia, Pejabat Daerah Kuala Nerus pada 12 Ogos lalu.
Pusat Asasi Sains dan Perubatan (PUSPA) serta Fakulti Sains Sosial Gunaan (FSSG), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) turut memaklumkan semua keperluan bagi penganjuran acara itu telah disediakan.
Seramai 50 sukarelawan UniSZA juga akan digerakkan bagi membantu memastikan kelancaran program berkenaan.
Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) pula memaklumkan lawatan ke sekolah menengah dan rendah serta majlis memorandum persefahaman (MoU) telah diatur, selain majlis perasmian di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman 2 yang akan disempurnakan Pengarah Pendidikan Terengganu.
JPNT turut menyediakan bas bagi mengambil delegasi dari Selatan Thailand di Pengkalan Kubor.

Dalam pada itu, penyelaras HTK memaklumkan penginapan di homestay dan Kampung Stay bagi 250 delegasi luar negara telah disediakan.
Jabatan Pendidikan Islam Terengganu pula menyatakan kesediaan menyediakan perkhidmatan bas bagi pengangkutan delegasi selain bas UniSZA dan JPNT.
FSSG UniSZA turut memaklumkan persiapan bagi acara Cultural Heritage Workshop telah lengkap.
Bagi aspek keselamatan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu akan memastikan kereta peronda bersedia mengiringi lapan kereta dan tiga van ke UniSZA.
Jabatan Kesihatan Terengganu pula akan membuat pemeriksaan terhadap semua pengendali yang menyediakan makanan tengah hari dan malam bagi memastikan kriteria ditetapkan dipatuhi.
Penganjuran program itu diharap dapat menyokong usaha Visit Malaysia 2026 serta promosi Kuala Nerus sebagai Lembah Pendidikan. – DETIK MALAYSIA
