KUALA LUMPUR – Pemain sayap Harimau Malaya, Pavithran Gunalan sedar skuad negara perlu memberikan aksi luar biasa dengan ‘200 peratus’ komitmen jika mahu mengejutkan juara bertahan Vietnam dalam aksi separuh akhir pertama Piala Hyundai ASEAN 2026, Ahad ini.
Pemain berusia 21 tahun itu mengakui Vietnam lebih dianggap pilihan untuk mara ke final buat kali ketiga berturut-turut, namun dia memberi jaminan Malaysia tidak akan mengalah apabila turun di hadapan ribuan penyokong di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
“Untuk bermain menentang Vietnam, kami perlu bekerja keras dan memberikan segala-galanya. Jika kami tidak memberikan 100 peratus atau mengambil mudah, memang tiada peluang untuk menang.
“Mereka adalah pasukan yang sangat kuat. Jika mereka beri 100 peratus, kami perlu beri 200 peratus untuk memenangi perlawanan ini,” katanya.
Pavithran muncul antara pemain menyerlah pada edisi ke-16 kejohanan berkenaan apabila meraih dua anugerah Hyundai Player of the Match hasil persembahan cemerlangnya.
Malah, pemain itu meledak gol tunggal menerusi tandukan ketika menentang Filipina dalam aksi terakhir Kumpulan B minggu lalu sekali gus membantu Malaysia kembali ke pentas kalah mati selepas tersingkir awal pada edisi 2024.
“Saya sangat gembira mendapat anugerah itu, terutama apabila keluarga dan penyokong berada di sana memberikan sokongan. Menang di hadapan mereka adalah satu perasaan yang hebat.
“Namun, semua ini tidak akan berlaku tanpa rakan sepasukan dan jurulatih. Mereka yang sentiasa memberikan motivasi kepada saya,” katanya.
Pavithran turut menegaskan kejayaan skuad negara banyak bergantung kepada disiplin dan semangat berpasukan.
“Ini semua mengenai kerja berpasukan. Apabila jurulatih memberikan arahan, kami laksanakan 100 peratus.
“Tiada rasa selesa dan tiada main-main. Disiplin itu yang membolehkan pasukan kami pergi lebih jauh kali ini,” katanya.
Menariknya, gol pertama Pavithran bersama skuad senior negara itu juga merupakan gol tandukan pertama sepanjang kariernya.
“Ini sebenarnya cerita yang agak kelakar. Sepanjang saya bermain bola sepak, saya tidak pernah menjaringkan gol dengan tandukan.
“Saya pernah mencuba tetapi tidak pernah masuk. Ini kali pertama. Sejujurnya, saya bukan pemain yang suka menanduk bola, tetapi ia berhasil,” katanya.
Perjalanan Pavithran bermula di Taiping apabila dia sering bermain bola sepak bersama bapa dan adik-beradiknya di rumah.
Melihat minatnya terhadap sukan itu, ibu bapanya menggalakkannya menyertai program pembangunan bola sepak kebangsaan di daerah berkenaan ketika berusia 10 hingga 12 tahun.
Peluang besar hadir ketika berusia 13 tahun apabila dia diterima menyertai Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas cemerlang dalam sesi pemilihan.
Pavithran terpaksa meninggalkan keluarga pada usia muda demi mengejar impian yang kini direalisasikan bersama Harimau Malaya.
Mengenang pengorbanan keluarga, Pavithran berkata mereka bukan daripada keluarga berada, malah bapanya bekerja sebagai pemandu lori manakala ibunya merupakan suri rumah yang menjaga lima anak.
“Ketika membesar, kami bukan keluarga yang senang dan agak banyak menghadapi kesukaran. Bapa saya pemandu lori manakala ibu suri rumah menjaga lima anak.
“Ketika bapa bekerja, ibu akan mengambil saya dari sekolah dengan motosikal dan terus menghantar saya ke latihan. Hujan atau panas, dia sentiasa ada untuk menghantar saya. Saya amat berterima kasih kepada mereka,” katanya.
Pavithran yang sekadar menjadi pemain gantian pada edisi 2024 kini menjadi tonggak utama apabila diturunkan dalam kesemua empat perlawanan Malaysia pada kempen kali ini.
Dia turut mengakui sokongan ibu bapa, adik-beradik dan ibu saudaranya banyak membentuk kariernya, selain berterima kasih kepada semua jurulatih yang membimbingnya.
“Saya bangga memakai jersi Harimau Malaya dan berharap keluarga saya bangga dengan pencapaian saya,” katanya.
Sebelum menyertai JDT, Pavithran mengakui dia bukan peminat bola sepak tegar, namun pandangannya berubah selepas berpindah ke Johor dan menyaksikan aksi JDT di stadium.
Dia menjadikan bekas pemain sayap JDT dan Harimau Malaya, Safawi Rasid sebagai idolanya kerana kedua-duanya merupakan pemain berkaki kiri dan beraksi di posisi sayap.
“Saya suka melihat gaya permainannya dan cara dia melakukan rembatan. Dia sememangnya inspirasi saya,” katanya.
Mengulas cabaran Vietnam, Pavithran sedar tugas Malaysia bukan mudah apabila skuad Golden Star Warriors itu memenangi lima daripada enam pertemuan terakhir kedua-dua pasukan dalam kejohanan berkenaan, manakala satu lagi berakhir seri.
Vietnam turut menewaskan Malaysia dengan agregat 3-2 pada final edisi 2018.
Vietnam hadir dengan rekod serangan menggerunkan selepas menjaringkan 13 gol, terbanyak dalam peringkat kumpulan.
Bagaimanapun, Pavithran enggan gentar dan mahu memanfaatkan nasihat ketua jurulatih interim, Tan Cheng Hoe untuk berdepan Vietnam.
“Perkataan yang paling kerap digunakan beliau ialah ‘yakin’. Dia sentiasa memberitahu saya, ‘Jika kamu yakin dengan bola, kamu akan menemui permainan kamu.’
“Apabila saya yakin, saya boleh melakukan gerakan menggelecek dan bermain mengikut kemampuan sebenar. Saya tidak memikirkan pemain lain, sebaliknya fokus kepada kekuatan sendiri. Itu membuatkan permainan saya lebih lancar,” katanya.
Dalam satu lagi aksi separuh akhir pertama, Singapura akan melayan kunjungan Thailand di Stadium Jalan Besar pada Sabtu. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Asean Utd FC
