KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH) dibentangkan dan dibahaskan secara rasmi di Parlimen.
Presidennya, Haji Jais Abdul Karim berkata, perkara yang dilaporkan menjadi penelitian RCI termasuk kelemahan tadbir urus, campur tangan politik, amalan perakaunan, pelaporan kewangan dan pelaburan berisiko tinggi.
Menurut beliau, isu berkenaan melibatkan kepentingan awam serta aspek kebertanggungjawaban institusi yang perlu diberikan perhatian serius.
“Tabung Haji bukan sekadar sebuah institusi kewangan, sebaliknya memikul tanggungjawab besar dalam mengurus simpanan dan aspirasi jutaan pendeposit Islam yang membuat persiapan untuk menunaikan ibadah haji.
“Justeru, ketelusan mesti menjadi asas dalam setiap usaha untuk memulihkan keyakinan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jais berkata, pembentangan laporan berkenaan di Parlimen membolehkan Ahli Parlimen meneliti penemuan RCI, mengenal pasti kelemahan institusi serta memastikan syor yang dikemukakan diterjemahkan kepada pembaharuan yang boleh diukur.
Katanya, syor berkenaan tidak seharusnya sekadar kekal sebagai dokumen pentadbiran.
MCW turut mencadangkan beberapa keutamaan segera termasuk memperkukuh kebebasan dan kecekapan profesional lembaga pengarah serta pengurusan TH.
“Selain itu, perlu diwujudkan perlindungan lebih kukuh daripada campur tangan politik, meningkatkan pengurusan risiko pelaburan, memastikan pelaporan kewangan yang telus dan ketat serta memperkenalkan pemantauan bebas yang lebih kukuh.
“Laporan awam berkala berkaitan pembaharuan tadbir urus juga perlu dilaksanakan,” katanya.
Dalam pada itu, Jais berkata, sekiranya terdapat bukti salah laku, kecuaian, penyalahgunaan kuasa atau kemungkinan berlaku kesalahan jenayah, agensi penguat kuasa berkaitan perlu menjalankan siasatan tanpa rasa takut atau pilih kasih.
“Keyakinan pendeposit tidak akan dipulihkan hanya melalui jaminan semata-mata. Ia perlu dibina semula menerusi ketelusan, kebertanggungjawaban, pembaharuan institusi dan tindakan yang boleh dibuktikan,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ISTAF
