PETALING JAYA – Pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) sepatutnya menjadi titik penting untuk memperbetulkan kelemahan institusi berkenaan, bukannya dijadikan gelanggang pertarungan politik.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, perbahasan mengenai laporan itu semakin tenggelam dalam pertikaian politik termasuk tindakan sebahagian Ahli Parlimen pembangkang keluar Dewan Rakyat.
Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan persoalan utama mengenai pihak yang bertanggungjawab terhadap kepincangan, bagaimana kerugian berlaku serta jaminan agar perkara sama tidak berulang semakin terpinggir.
“Tabung Haji bukan milik mana-mana parti politik. Wang yang diuruskan ialah simpanan jutaan umat Islam termasuk petani, nelayan, pekerja kilang, penjawat awam, peniaga kecil dan warga emas.
“Setiap ringgit di dalamnya membawa amanah, pengorbanan dan harapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Azmi berkata, isu RCI Tabung Haji tidak wajar dikecilkan kepada pertembungan antara kerajaan dengan pembangkang kerana ia membabitkan amanah awam, integriti pengurusan, disiplin pelaburan dan perlindungan terhadap pendeposit.
Pembangkang jangan sia-siakan ruang semak dan imbang
Dalam pada itu, beliau menyifatkan tindakan sebahagian Ahli Parlimen pembangkang keluar daripada Sidang Khas Dewan Rakyat ketika laporan RCI dibahaskan sebagai sesuatu yang mengecewakan.
Katanya, jika laporan tersebut dipertikaikan, pembangkang sepatutnya kekal dalam Dewan untuk meneliti setiap dapatan, mengemukakan dokumen, mencabar angka dan menuntut penjelasan daripada kerajaan.
“Parlimen ialah medan semak dan imbang. Tindakan keluar Dewan mungkin menghasilkan tajuk berita, tetapi tidak membantu rakyat memahami kebenaran.
“Malah, tindakan itu menyebabkan pembangkang sendiri dilihat berpecah apabila terdapat Ahli Parlimen yang mahu laporan tersebut terus dibahaskan secara substantif,” katanya.
Beliau berkata, perbezaan pandangan dalam kalangan pembangkang merupakan sebahagian daripada proses demokrasi, namun ia menjadi masalah apabila strategi politik mengatasi tanggungjawab mempertahankan kepentingan pendeposit.
Katanya, pembangkang yang mahu dilihat sebagai kerajaan alternatif perlu menunjukkan keupayaan meneliti laporan kewangan, memahami risiko institusi dan mengemukakan cadangan pembaharuan.
Kerajaan jangan guna RCI sebagai senjata politik
Pada masa sama, Mohd Azmi berkata, kerajaan juga tidak boleh memperalatkan laporan RCI untuk menghukum lawan politik melalui persepsi sebelum proses siasatan dan perundangan diselesaikan.
“Pendedahan laporan perlu disusuli siasatan profesional, audit forensik dan pendakwaan berdasarkan bukti.
“Jika berlaku salah guna kuasa, kecuaian serius, konflik kepentingan atau keputusan pelaburan yang melanggar mandat, mereka yang bertanggungjawab mesti disiasat tanpa mengira jawatan, parti atau kedudukan,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan tempoh yang panjang diambil sebelum laporan RCI didedahkan kepada umum.
Menurutnya, alasan bahawa pendedahan lebih awal boleh mencetuskan kebimbangan dan pengeluaran simpanan secara besar-besaran mempunyai asas dari sudut kestabilan institusi, namun ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menangguhkan ketelusan.
Dapatan RCI perlu tindakan serius
Mohd Azmi berkata, RCI dilaporkan mengesyorkan rombakan besar terhadap tadbir urus TH, termasuk menghalang ahli politik aktif daripada menduduki lembaga pengarah, menetapkan kelayakan serta bidang kepakaran anggota lembaga dan memperkemas pembahagian tanggungjawab.
Selain itu, katanya, audit forensik terhadap pelaburan bermasalah serta tindakan segera terhadap setiap laporan polis atau aduan salah laku turut disyorkan.
“Cadangan melarang ahli politik aktif daripada menganggotai lembaga TH wajar diberi perhatian serius.
“Institusi kewangan umat mesti dilindungi daripada campur tangan politik, pelantikan berasaskan kesetiaan dan keputusan pelaburan yang dipengaruhi kepentingan pihak tertentu,” katanya.
Beliau berkata, kepakaran profesional, amanah, pengalaman dan kebebasan membuat keputusan perlu menjadi asas pelantikan.
Usaha pemulihan perlu dinilai secara adil
Dalam pada itu, Mohd Azmi berkata, usaha pemulihan yang telah dilaksanakan tidak sepatutnya dinafikan dalam keghairahan membahaskan kepincangan lalu.
Menurut beliau, berdasarkan laporan mengenai pelaksanaan Pelan Pemulihan TH, kerugian pelaburan berjumlah RM12.6 bilion telah ditangani, iaitu RM10 bilion melalui Pelan Pemulihan 2018 dan baki RM2.6 bilion secara berperingkat sehingga akhir 2025.
Katanya, sebanyak 75 peratus syor RCI dilaporkan telah dilaksanakan, manakala pendapatan pelaburan TH mencecah RM4.64 bilion pada 2025.
“Kadar agihan keuntungan juga meningkat daripada 1.25 peratus bagi 2018 kepada 3.25 peratus bagi 2024 dan 3.5 peratus bagi 2025.
“Angka ini menunjukkan proses pemulihan telah menghasilkan kemajuan yang boleh diukur,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, pengiktirafan terhadap kemajuan itu tidak bermakna semua keputusan penstrukturan semula perlu diterima tanpa penelitian.
Katanya, pemindahan aset kepada Urusharta Jamaah, penerbitan sukuk, pembelian semula aset dan tanggungan kewangan kerajaan tetap perlu diperiksa secara telus.
Jangan samakan pemulihan dengan pengampunan
Mohd Azmi berkata, tiga perkara perlu dibezakan iaitu mengenal pasti kerosakan dan pihak bertanggungjawab, menilai keberkesanan langkah pemulihan serta membina perlindungan institusi untuk masa depan.
“Kejayaan memulihkan kedudukan kewangan tidak boleh memadamkan tanggungjawab terhadap kesalahan lalu.
“Pada masa sama, kesalahan lalu tidak boleh dijadikan alasan untuk menafikan semua kejayaan pengurusan semasa,” katanya.
Sehubungan itu, MAPIM menggesa supaya satu pelan tindakan pasca-RCI diumumkan kepada rakyat dengan menyatakan syor yang telah dilaksanakan, yang masih tertangguh, pihak bertanggungjawab, tempoh pelaksanaan dan indikator keberhasilannya.
Beliau turut menggesa audit forensik terhadap pelaburan bermasalah dilaksanakan oleh badan bebas dan hasil siasatan dirujuk kepada agensi penguatkuasaan tanpa campur tangan politik.
Kembalikan perbahasan kepada amanah umat
Mohd Azmi berkata, RCI Tabung Haji sepatutnya menyatukan semua pihak berlandaskan satu prinsip iaitu amanah umat mesti dipelihara tanpa kompromi.
“Kerajaan perlu telus dan bertanggungjawab. Pembangkang perlu kritikal, berfakta dan konsisten. Pengurusan TH mesti profesional dan bebas daripada campur tangan politik.
“Rakyat tidak mahu melihat RCI berakhir sebagai satu lagi dokumen tebal yang diperdebatkan beberapa hari kemudian dilupakan.
“Mereka mahu tindakan, pemulangan aset jika berlaku penyelewengan, pendakwaan jika terdapat kesalahan dan pembaharuan institusi yang dapat diuji,” katanya.
Beliau berkata, perpecahan politik tidak sepatutnya mengalihkan perhatian daripada akauntabiliti, manakala usaha pemulihan tidak wajar digunakan untuk menutup kesalahan lalu.
“Tabung Haji ialah amanah umat. Kebenaran mesti didedahkan, kesalahan mesti dipertanggungjawabkan, usaha pembaikan mesti dihargai dan masa depannya mesti dilindungi daripada kerakusan kuasa serta kepentingan politik,” katanya. – DETIK MALAYSIA
