SHAH ALAM – Ultras Malaya mempersoalkan tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menetapkan harga tiket Terbuka bagi aksi separuh akhir Piala Hyundai ASEAN antara Malaysia dan Vietnam pada RM50.
Menurut kumpulan penyokong itu, harga berkenaan menunjukkan peningkatan sebanyak 66.7 peratus berbanding RM30 bagi aksi Malaysia menentang Filipina di stadium sama, hanya lapan hari sebelum itu.
“RM30 ke RM50 dalam lapan hari, kenaikan 66.7 peratus.
“Kami faham kos dan nilai sesuatu perlawanan boleh berubah. Tetapi kenaikan sebesar ini mesti dijelaskan,” menurut kenyataan Ultras Malaya.
Ultras Malaya turut mempersoalkan asas penetapan harga RM50 itu dan menggesa FAM memberikan penjelasan kepada penyokong.
“Kalau berasas, jelaskan kepada penyokong. Kalau tidak, kembalikan harga Terbuka kepada RM30.
“Tiket habis dijual hanya membuktikan permintaan wujud. Ia tidak bermaksud harga itu berpatutan,” katanya.
Kumpulan penyokong itu turut mengingatkan bahawa FAM pernah menurunkan harga tiket Terbuka daripada RM50 kepada RM30 pada Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 selepas menerima reaksi daripada penyokong.
Malah, ketika Malaysia mara ke separuh akhir menentang Thailand pada Januari 2023, harga tiket Terbuka RM30 itu dikekalkan.
“Kalau RM30 boleh dikekalkan untuk separuh akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, mempertikaikan RM50 di Cheras bukan tuntutan melampau,” katanya.
Dalam pada itu, Ultras Malaya menegaskan pendirian mereka untuk meneruskan boikot, namun pada masa sama tidak akan berhenti memperjuangkan kepentingan penyokong.
“Ultras Malaya kekal boikot. Tetapi boikot tidak bermaksud kami berhenti pertahankan kepentingan penyokong,” katanya. – DETIK MALAYSIA
