KUALA TERENGGANU – Barisan pemain baharu yang membentuk sebahagian besar skuad ragbi Terengganu tidak menghalang pasukan itu daripada memburu pingat pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, dengan gangsa menjadi sasaran kali ini.
Pengurus pasukan, Mohd Amirulmukminin Sulaiman berkata, sasaran berkenaan ditetapkan berdasarkan kekuatan semasa pasukan yang mengalami perubahan besar berbanding skuad yang muncul naib juara pada SUKMA Sarawak.
Katanya, perubahan komposisi pasukan itu bagaimanapun tidak menjejaskan persiapan dan keyakinan pemain untuk menghadapi saingan yang bermula 19 Ogos ini.

“Walaupun ramai muka baharu, kita bukan datang ke Selangor sekadar untuk mengambil bahagian. Pemain sudah bersedia dan tahu apa yang perlu dilakukan.
“Gangsa adalah sasaran yang realistik berdasarkan kekuatan pasukan ketika ini, tetapi jika ada peluang untuk pergi lebih jauh, kita akan cuba,” katanya selepas majlis ringkas bersama 26 pemain dan pegawai pasukan di sini.
Pada SUKMA Sarawak, skuad lelaki Terengganu meraih pingat perak selepas muncul naib juara, manakala pasukan wanita membawa pulang gangsa.
Amirulmukminin berkata, pencapaian pada edisi lalu perlu dijadikan pembakar semangat dan bukannya tekanan kepada pemain, khususnya barisan baharu.
“Paling penting pemain perlu percaya kepada kemampuan sendiri dan melaksanakan pelan permainan yang telah ditetapkan,” katanya.
Skuad lelaki Terengganu diundi dalam Kumpulan D bersama Kedah, Pulau Pinang dan Perlis, manakala pasukan wanita berada dalam Kumpulan E bersama Sabah, Kedah dan Johor.
SUKMA Selangor 2026 berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, dengan saingan ragbi dijadual bermula 19 Ogos.
