SUNGAI PETANI – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Persatuan Ekologi Malaysia menggesa tindakan segera diambil bagi menangani masalah pembuangan sampah yang berlarutan di kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) Paya Bakau Sungai Merbok, khususnya sekitar Kampung Segantang Garam, Kedah.
Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua-dua pertubuhan itu menyokong gesaan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) supaya Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) dan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah menjalankan siasatan menyeluruh serta mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pihak yang bertanggungjawab.
Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid dan Presiden Persatuan Ekologi Malaysia, Dr Ahmad Ismail berkata, masalah yang dilaporkan berlaku sejak empat tahun lalu itu amat mendukacitakan kerana masih belum ditangani secara berkesan.
Menurut mereka, keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai tahap pemantauan, penyelarasan antara agensi dan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang di kawasan sensitif alam sekitar.
Mereka berkata, Hutan Paya Bakau Sungai Merbok mempunyai nilai alam sekitar, ekonomi, sosial dan sejarah yang tinggi selain menjadi habitat serta kawasan pembiakan pelbagai spesies ikan, udang, ketam, moluska, burung dan hidupan lain.
“Paya bakau juga bertindak sebagai benteng semula jadi yang mengurangkan hakisan, menstabilkan tebing sungai, memerangkap sedimen serta melindungi kawasan pesisiran daripada kesan ombak dan perubahan cuaca.
“Keupayaannya menyimpan karbon turut menjadikan ekosistem ini penting dalam menghadapi krisis perubahan iklim,” menurut kenyataan itu.
Menurut mereka, pembuangan sampah di kawasan HSK bukan kesalahan kecil kerana boleh mengancam aset ekologi negara dan kehidupan masyarakat yang bergantung kepada Sungai Merbok.
Katanya, sampah plastik seperti beg, botol minuman dan pembungkus makanan boleh kekal dalam persekitaran untuk tempoh panjang sebelum pecah menjadi mikroplastik yang memasuki rantaian makanan serta mencemarkan sungai dan laut.
“Jika keadaan ini berterusan, pencemaran bukan sahaja akan merosakkan kawasan paya bakau, malah berpotensi merebak ke muara, perairan pesisir dan kawasan penangkapan ikan berhampiran,” katanya.
Mata pencarian nelayan terancam
MAPIM dan Persatuan Ekologi Malaysia berkata, ratusan nelayan serta keluarga mereka bergantung kepada Sungai Merbok dan perairan sekitarnya sebagai sumber rezeki.
Menurut mereka, pencemaran berpotensi mengurangkan hasil tangkapan, merosakkan habitat pembiakan hidupan akuatik dan meningkatkan risiko terhadap keselamatan makanan.
“Isu sampah di Sungai Merbok tidak boleh dilihat sebagai masalah kebersihan semata-mata kerana ia berkait secara langsung dengan kelangsungan ekonomi nelayan, kesihatan masyarakat, keselamatan makanan dan hak generasi akan datang untuk menikmati alam sekitar yang bersih,” menurut kenyataan itu.
Mereka turut menegaskan kos akibat pencemaran akhirnya akan ditanggung rakyat dan pihak berkuasa tidak boleh menunggu sehingga kerosakan menjadi lebih luas sebelum tindakan bersungguh-sungguh dilaksanakan.
Siasat punca pencemaran
Kedua-dua pertubuhan itu menggesa satu siasatan bersepadu dilaksanakan bagi mengenal pasti sumber sebenar sampah tersebut.
Siasatan itu perlu menentukan sama ada sisa berkenaan berpunca daripada pembuangan individu, premis perniagaan, aktiviti industri, tapak pelupusan tidak sah atau sampah yang dibawa melalui sistem perparitan dan aliran sungai.
“Pembersihan tanpa mengenal pasti punca hanya akan menghasilkan penyelesaian sementara. Sampah akan kembali terkumpul jika saluran pembuangan dan kelemahan pengurusan sisa tidak diperbetulkan,” katanya.
Mereka turut menggesa mana-mana individu, syarikat atau pihak yang didapati membuang sampah secara haram dikenakan tindakan tegas.
Tujuh tindakan segera
MAPIM dan Persatuan Ekologi Malaysia turut menggesa Kerajaan Negeri Kedah, MPSPK, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, Jabatan Alam Sekitar serta agensi berkaitan melaksanakan tujuh tindakan segera.
Antaranya menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat sumber, jenis dan skala pencemaran di sepanjang Sungai Merbok serta menjalankan operasi pembersihan menyeluruh di kawasan terjejas tanpa merosakkan akar, habitat dan struktur semula jadi paya bakau.
Mereka turut mencadangkan pemasangan kamera pengawasan di kawasan panas pembuangan sampah, penambahan tong sampah, pusat pengumpulan sisa dan papan tanda larangan di lokasi strategik.
Selain itu, pemantauan sungai secara berkala dan penerbitan laporan keadaan kebersihan serta kualiti air untuk pengetahuan awam perlu dilaksanakan.
“Undang-undang juga perlu dikuatkuasakan secara tegas terhadap pembuangan sampah haram, termasuk penalti yang setimpal kepada pesalah berulang.
“Pada masa sama, kempen pendidikan berterusan mengenai bahaya plastik, pengasingan sisa, kitar semula dan kepentingan memelihara ekosistem Sungai Merbok perlu dilaksanakan,” katanya.
Cadang jawatankuasa pemulihan
Mereka turut mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Pemulihan dan Perlindungan Ekosistem Sungai Merbok yang melibatkan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, Jabatan Perhutanan, Jabatan Alam Sekitar, agensi perikanan, universiti, pertubuhan masyarakat sivil, wakil nelayan dan penduduk tempatan.
Jawatankuasa berkenaan perlu menyediakan pelan pemulihan dengan sasaran, tempoh pelaksanaan dan pembahagian tanggungjawab yang jelas.
Data berkaitan kualiti air, jumlah sampah dikutip, lokasi pencemaran dan tindakan penguatkuasaan juga perlu diumumkan secara berkala.
“Empat tahun ialah tempoh yang terlalu lama untuk satu masalah pencemaran dibiarkan berulang.
“Pihak berkuasa perlu memberikan penjelasan mengenai tindakan yang telah diambil, sebab pencemaran masih berterusan dan pelan konkrit untuk menyelesaikannya,” katanya.
MAPIM dan Persatuan Ekologi Malaysia turut menyeru Kerajaan Negeri Kedah menjadikan pemulihan Sungai Merbok sebagai agenda alam sekitar negeri yang diberi keutamaan.
“Keberkesanan tidak boleh diukur berdasarkan jumlah sampah yang dikutip dalam satu operasi, tetapi melalui pencegahan berterusan, penguatkuasaan konsisten dan pemulihan kesihatan keseluruhan ekosistem.
“Sungai Merbok dan hutan paya bakaunya ialah khazanah negara. Menjaganya merupakan amanah bersama,” menurut kenyataan itu. – DETIK MALAYSIA
