NORTHAMPTONSHIRE – Hasrat pelumba rookie Moto3 negara, Hakim Danish, untuk meraih mata pada Grand Prix (GP) Britain tidak kesampaian selepas terbabit kemalangan pada pusingan kelima di Litar Silverstone.
Pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi itu yang bermula di petak kesembilan selepas mencatat masa 2:09.977 pada sesi kelayakan, pada awalnya turun ke kedudukan ke-12 sebelum bangkit memintas beberapa pelumba untuk berada di tempat kelapan.
Bagaimanapun, aksi cemerlang pelumba berusia 19 tahun itu berakhir di selekoh 16 dan 17 apabila dia terpaksa mengelak pelumba yang terjatuh.
Insiden bermula apabila pelumba Ireland, Casey O’Gorman daripada SIC58 Squadra Corse, terbabit pergeseran dengan pelumba Sepanyol, Adrian Cruces daripada CIP Green Power.
Cruces terjatuh menyebabkan Hakim yang berada berhampiran terpaksa mengambil tindakan mengelak bagi mengelakkan perlanggaran.
Hakim berjaya mengelak pelumba berkenaan namun motosikalnya terbabas keluar daripada laluan perlumbaan sebelum hilang kestabilan dan terjatuh di Selekoh 17.
O’Gorman kemudian dikenakan penalti Long Lap kerana menjadi punca insiden berkenaan.
Pengarah ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin percaya keputusan di Silverstone tidak menggambarkan potensi sebenar Hakim yang sebelum itu menunjukkan kelajuan kompetitif untuk bersaing dalam kelompok hadapan.
Hakim turut mengesahkan dirinya tidak mengalami kecederaan dan mengambil banyak perkara positif daripada perlumbaan tersebut.
“Alhamdulillah, selepas kemalangan saya tidak mengalami sebarang kecederaan. Ketika perlumbaan, saya berasa sangat baik dengan motosikal dan yakin mampu bersaing dalam kelompok hadapan.
“Malangnya, saya terjatuh ketika cuba mengelak pelumba lain yang terjatuh. Namun begitu, banyak perkara positif yang boleh saya ambil daripada hujung minggu ini.
“Saya belajar banyak perkara dan tidak sabar untuk perlumbaan seterusnya di Aragon. Saya akan cuba melakukan yang terbaik dan terus berlatih supaya dapat kembali lebih kuat pada perlumbaan akan datang,” katanya.
Keputusan itu menyaksikan Hakim gagal menambah mata dan kekal di tangga kelapan Kejuaraan Dunia Moto3 2026 dengan 86 mata.
Dalam kedudukan Rookie of the Year 2026 pula, Hakim turut kekal di tempat ketiga dengan 86 mata, di belakang Brian Uriarte yang mengumpul 127 mata dan Veda Pratama dengan 97 mata.
Sementara itu, tumpuan kini beralih kepada pusingan seterusnya di Aragon, dengan Hakim berpeluang bangkit selepas pengalaman di Silverstone.
Walaupun gagal mengutip mata, aksi di Silverstone membuktikan Hakim mempunyai kelajuan dan keyakinan untuk bersaing dalam kelompok hadapan Moto3. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ZK Racing
