PETALING JAYA – Seramai 23 pemain dipanggil menyertai fasa pertama kem latihan berpusat skuad Malaysia Bawah 19 (B-19) sebagai persiapan menghadapi Kelayakan Piala Asia B-20 2027 di Vientiane, Laos.
Ketua jurulatih, Shukor Adan menyenaraikan 23 pemain bagi fasa pertama yang berlangsung dari 12 hingga 23 Ogos ini.
Skuad berkenaan menyaksikan wakil Johor Darul Ta’zim (JDT) IV, Selangor FC 3 dan 4 serta Akademi Mokhtar Dahari (AMD) mendominasi senarai panggilan.
JDT IV menjadi penyumbang terbesar dengan lapan pemain iaitu Muhammad Amar Imran Uzaini Ashadi, Aisy Aqasha Noorazhar, Haziq Aziz Ahyok Abdul Qayyum, Muhammad Ilhaam Azani Mohd Azamin, Tengku Hasyri Shah Meerza Tengku Hazman, Muhammad Naqif Firhad Mohd Shafarin, Adam Hakimi Mohd Zaki dan Mohamad Fadhlul Hadi Zulkarnain.
Selangor pula turut menyumbang lapan pemain menerusi Selangor FC 3 dan Selangor FC 4.
Tiga pemain Selangor FC 3 ialah Mohamad Helmi Ismail, Wan Raif Muqriz Shamsul Amri dan Muhammad Airel Husainy Yusoff.
Manakala Selangor FC 4 diwakili Syazril Izwan Shairunizam, Ahmad Zidan Ahmad Fazly, Muhammad Awal Wafiy Ahmad Syukri, Muhammad Adib Rashidi dan Muhammad Faizi Hafiz Hishamuddin.
AMD pula menyumbang enam pemain iaitu Adrian Muslim Sufian, Arfan Haziq Ahmad Marzuki, Mohamad Iman Danish Mohd Shukor, Muhammad Aufa Bazli Mohd Razif, Muhammad Iman Irfan Muhammad Hapis dan Muhammad Syazani Yussairi Yusnazairi.
Kaveen A/L Shanmugesh Waran daripada Visela FC melengkapkan senarai 23 pemain.
Bagaimanapun, senarai tersebut belum menjadi skuad akhir bagi menghadapi pusingan kelayakan berkenaan.
Selepas fasa pertama berakhir, Shukor akan memilih kumpulan pemain bagi fasa kedua yang dijadualkan berlangsung dari 24 hingga 28 Ogos selepas tamat SUKMA 2026.
Skuad akhir 23 pemain kemudiannya akan dimuktamadkan sebelum berlepas ke Vientiane pada 29 Ogos.
Shukor akan dibantu Lee Jeyoon selaku penolong ketua jurulatih, Yong Wai Hwang (jurulatih penjaga gol), Reuben Jude Balraj (jurulatih kecergasan) dan Haru Chung (penganalisis).
Datuk Ong Kim Swee pula dilantik sebagai pengurus pasukan merangkap Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).
Malaysia diundi dalam Kumpulan H bersama Indonesia, Australia dan tuan rumah Laos bagi Kelayakan Piala Asia B-20 2027.
Skuad Harimau Malaya B-19 akan memulakan kempen menentang Indonesia pada 31 Ogos sebelum berdepan Australia pada 3 September.
Malaysia kemudian menamatkan aksi kumpulan menentang Laos pada 6 September.
Kesemua perlawanan dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Laos KM16, Vientiane.
Hanya lapan juara kumpulan, tujuh naib juara terbaik serta tuan rumah China akan layak ke Piala Asia B-20 2027 yang dijadualkan berlangsung pada Mac tahun depan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM
