KUALA NERUS – Seramai 50 mahasiswa antarabangsa dari 20 negara berpeluang mendalami budaya dan kehidupan masyarakat tempatan menerusi program Malaysian Discovery Cultural Immersion (MDCI) yang berlangsung di Homestay Teluk Ketapang, di sini.
Program anjuran Education Malaysian Global Services (EMGS) Corporate itu dikendalikan Koperasi Homestay Teluk Ketapang (KHTK), dengan 20 keluarga angkat dipilih bagi memberikan pengalaman kehidupan masyarakat setempat kepada peserta.
Program bermula dengan sambutan secara tradisional di perkarangan Masjid Al Ansar, Kem Seri Pantai Teluk Ketapang, termasuk paluan kompang, bunga manggar, bunga telur dan sirih junjung.
Peserta turut berpeluang mengunjungi Pasar Kem dan Pasar Bundle yang menjadi antara lokasi popular di kawasan Homestay Teluk Ketapang bersama keluarga angkat masing-masing.
Pengalaman lebih menarik apabila mahasiswa terbabit menyertai aktiviti menarik pukat secara beramai-ramai di tepi laut, demonstrasi menjala ikan serta sukaneka tradisional di pantai.
Mereka turut menikmati hidangan tengah hari berasaskan menu tradisional Terengganu di Restoran Tok Mi Selera Kampung.
Selain itu, tujuh bot Ramboo Cruise membawa mahasiswa bersama keluarga angkat menikmati pemandangan bandar, desa, sungai dan laut yang menjadi antara keunikan Terengganu.
Seorang peserta dari Itali yang pernah mengelilingi dunia menyifatkan pengalaman tersebut sebagai sesuatu yang sukar dilupakan.
Program itu turut diserikan dengan aktiviti silang budaya dan warisan Terengganu seperti selambut, congkak, seruling, origami, henna serta latihan kompang.
Peserta turut diberi peluang menyaksikan demonstrasi pembuatan batik dan songket di Noor Arfa Craft Centre.
Penganjur berharap program MDCI dapat menarik lebih ramai pelajar antarabangsa untuk memilih Malaysia sebagai destinasi menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi tempatan, selain memperkenalkan kepelbagaian budaya dan kehidupan masyarakat negara ini kepada dunia. – DETIK MALAYSIA
