KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa masyarakat antarabangsa menolak tindakan sekatan ekonomi unilateral Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran, khususnya ancaman mengenakan tindakan terhadap negara dan syarikat yang meneruskan hubungan perdagangan dengan negara berkenaan.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tindakan terbaharu menerusi ‘Operation Economic Outcast’ yang dilancarkan Jabatan Perbendaharaan AS dilihat sebagai usaha memutuskan sumber ekonomi Iran selain memberi tekanan kepada negara dan entiti di seluruh dunia supaya menghentikan hubungan ekonomi dengan Tehran.
Katanya, Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent turut memberi amaran bahawa negara dan entiti yang memudahkan urus niaga membabitkan minyak Iran serta sumber pendapatan lain boleh dikenakan sekatan.
“Ini bukan lagi sekadar pertikaian antara Washington dan Tehran, sebaliknya cubaan yang semakin berbahaya oleh sebuah negara untuk menentukan dengan siapa negara berdaulat lain boleh berdagang, melabur dan menjalankan urusan ekonomi yang sah.
“Dunia mesti bangkit. Jika masyarakat antarabangsa membenarkan sebuah negara mengenakan undang-undang domestik dan rejim sekatannya terhadap negara berdaulat lain, prinsip kesamarataan kedaulatan negara akan terhakis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Azmi, ancaman sekatan sekunder juga membimbangkan kerana negara yang tidak mengenakan sekatan terhadap Iran boleh dihukum hanya kerana meneruskan hubungan ekonomi dengan Tehran.
Katanya, tekanan sedemikian boleh menjejaskan kebebasan negara menentukan rakan ekonomi masing-masing selain mencetuskan kebimbangan dalam sektor perbankan, perkapalan, tenaga, teknologi dan pelaburan antarabangsa.
“Orang awam akhirnya menanggung kesan apabila sekatan mengganggu perdagangan, perbankan, bekalan tenaga, ubat-ubatan, keselamatan makanan dan pembangunan.
“MAPIM menolak sebarang dasar yang menjadikan hubungan ekonomi sebagai instrumen hukuman kolektif,” katanya.
Dalam pada itu, MAPIM mengakui setiap negara mempunyai kebimbangan keselamatan yang sah serta berhak mengambil langkah diplomatik, undang-undang dan politik bagi menyelesaikan pertikaian.
Namun, katanya, tekanan ekonomi tidak seharusnya menggantikan diplomasi atau digunakan tanpa batas untuk memaksa negara berdaulat tunduk secara politik.
Menurut beliau, kempen terbaharu AS dilaporkan menyasarkan lima sektor utama berkaitan ekonomi Iran iaitu aset digital, teknologi, emas, penerbangan dan perkapalan selain mengenakan sekatan terhadap puluhan entiti, kapal dan individu di beberapa bidang kuasa.
“Siapa yang memberi kuasa kepada mana-mana negara untuk menentukan negara berdaulat mana yang dibenarkan berdagang antara satu sama lain?
“Hari ini Iran. Esok mungkin negara lain yang enggan mengikut kehendak politik kuasa dominan,” katanya.
Sehubungan itu, MAPIM menggesa negara Global Selatan, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), ASEAN, negara anggota BRICS dan negara membangun lain mengambil tindakan segera terhadap penggunaan sekatan ekonomi unilateral.
MAPIM turut menggesa kerajaan Malaysia mempertahankan prinsip multilateralisme, diplomasi aman, kesamarataan kedaulatan serta ketertiban antarabangsa berasaskan undang-undang antarabangsa.
“Malaysia tidak seharusnya menerima prinsip bahawa hubungan ekonominya yang sah dengan negara berdaulat lain boleh ditentukan oleh negara ketiga melalui ancaman sekatan sekunder.
“Malaysia perlu bekerjasama dengan ASEAN dan negara sehaluan untuk membentuk pendirian bersama terhadap penerapan sekatan unilateral secara luar wilayah,” katanya.
MAPIM turut menyeru masyarakat antarabangsa menjalankan semakan segera terhadap kesahan serta kesan kemanusiaan sekatan unilateral dan sekatan sekunder, selain melindungi perdagangan makanan, ubat-ubatan, penjagaan kesihatan serta barangan awam penting.
“Tiada satu negara sepatutnya mempunyai kuasa menentukan hubungan ekonomi seluruh masyarakat antarabangsa.
“Dunia mesti menolak normalisasi paksaan ekonomi dan mempertahankan hak negara berdaulat untuk menjalankan perdagangan aman dan sah,” katanya.
Mohd Azmi berkata, usaha itu penting bagi memastikan prinsip kemerdekaan ekonomi negara berdaulat tidak menjadi mangsa seterusnya kepada kuasa geopolitik. – DETIK MALAYSIA
