SHAH ALAM – Satu siasatan antarabangsa yang bebas digesa dijalankan berhubung dakwaan pembunuhan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Syed Ali Khamenei, selain menuntut semua pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya menyifatkan insiden itu sebagai satu tindakan yang mencabuli undang-undang antarabangsa, kedaulatan negara serta hak asasi manusia.
Menurut beliau, masyarakat antarabangsa tidak seharusnya menerima pembunuhan politik atau pembunuhan di luar proses perundangan sebagai instrumen dasar luar mana-mana negara.
“Apabila negara yang berkuasa boleh menghapuskan pemimpin politik dan agama tanpa dipertanggungjawabkan, keseluruhan kerangka undang-undang antarabangsa akan menjadi semakin lemah.
“Berdiam diri terhadap perbuatan sedemikian hanya akan menyuburkan budaya impuniti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kenyataan sama, Mapim turut mendakwa serangan yang mengorbankan Ayatollah Khamenei melibatkan Amerika Syarikat dan Israel, sambil menyifatkannya sebagai sebahagian daripada corak pencabulan undang-undang antarabangsa.
Dakwaan tersebut bagaimanapun tidak disertakan dengan bukti dalam kenyataan berkenaan.
Sehubungan itu, Mapim menggesa masyarakat antarabangsa, kerajaan, pertubuhan masyarakat sivil serta badan hak asasi manusia supaya menuntut siasatan bebas terhadap insiden berkenaan, memastikan semua pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa dipertanggungjawabkan, menamatkan amalan pembunuhan di luar proses perundangan dan pembunuhan politik, melaksanakan undang-undang antarabangsa secara adil tanpa layanan dua darjat serta mengambil langkah konkrit bagi mengelakkan hakisan terhadap sistem perundangan antarabangsa.
Mohd. Azmi berkata, umat Islam dan seluruh masyarakat yang menjunjung keadilan perlu terus menentang sebarang bentuk kezaliman tanpa mengira lokasi kejadian.
“Jika dunia menerima pembunuhan politik sebagai perkara biasa, tiada negara dan tiada pemimpin akan benar-benar selamat daripada pencerobohan yang menyalahi undang-undang,” katanya. – DETIK MALAYSIA
