KUALA LUMPUR – Isu pelantikan Tan Sri Azam Baki sebagai Ahli Lembaga Penasihat Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) perlu dinilai secara berasingan daripada aspek kesahan undang-undang dan persepsi awam, kata Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, berdasarkan penjelasan NFCC, pelantikan Azam dibuat atas kapasiti individu bagi tempoh tiga tahun bermula 20 September 2024 hingga 19 September 2027 dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong dan tidak terikat kepada jawatan beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika itu.
Katanya, dari sudut perundangan, kedudukan tersebut perlu dilihat berdasarkan peruntukan Akta Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional 2019 (Akta 822).
“Bagaimanapun, MCW menghormati hak mana-mana pihak termasuk Ahli Parlimen untuk membangkitkan persoalan berhubung pelantikan ke institusi penting negara kerana prinsip semak dan imbang merupakan sebahagian daripada amalan demokrasi yang sihat.
“Bagi MCW, badan strategik seperti NFCC yang berperanan menangani jenayah kewangan, rasuah dan aliran wang haram mesti sentiasa berada pada tahap keyakinan awam yang tertinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, selain mematuhi kehendak undang-undang, setiap pelantikan ke institusi berkaitan integriti juga perlu mengambil kira prinsip ketelusan, akauntabiliti dan keyakinan awam.
Dalam masa sama, Jais menegaskan prinsip keadilan perlu dihormati dan sebarang persepsi, dakwaan atau kontroversi terhadap mana-mana individu tidak seharusnya dijadikan hukuman awam tanpa melalui proses sewajarnya serta keputusan institusi berautoriti.
Beliau berkata, negara juga perlu terus memperkukuhkan mekanisme pelantikan ke badan-badan berkaitan integriti melalui kriteria yang jelas, proses tapisan yang telus dan komunikasi awam yang berkesan supaya tidak timbul ruang keraguan terhadap institusi yang diamanahkan memerangi jenayah kewangan serta rasuah.
“MCW menyeru semua pihak supaya menghormati kedaulatan undang-undang, mempertahankan prinsip integriti institusi dan memastikan setiap perbahasan dibuat secara profesional demi kepentingan negara,” katanya.
Terdahulu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin membangkitkan persoalan mengenai kedudukan Azam sebagai Ahli Lembaga Penasihat NFCC selepas beliau tidak lagi memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Bagaimanapun, NFCC menjelaskan pelantikan Azam adalah atas kapasiti individu dan bukannya berdasarkan jawatan, sekali gus kekal sah sehingga tamat tempoh pelantikannya pada 19 September 2027. – DETIK MALAYSIA
