MIAMI – Juara bertahan, Argentina dipaksa mengerah kudrat sehingga ke masa tambahan sebelum menewaskan Cape Verde 3-2 dalam aksi dramatik pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 awal pagi tadi.
Cape Verde yang membuat penampilan sulung di pentas Piala Dunia sekali lagi membuktikan mereka bukan sekadar pelengkap jadual apabila memberikan tentangan sengit sehingga mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Lionel Messi meletakkan Argentina di depan sebelum Deroy Duarte menyamakan kedudukan pada babak kedua. Lisandro Martinez kembali meletakkan La Albiceleste di depan dalam masa tambahan, namun Sidny Lopes Cabral sekali lagi menghidupkan harapan wakil Afrika itu dengan gol penyamaan.
Ketika perlawanan seakan-akan menuju penentuan sepakan penalti, Cristian Romero muncul wira Argentina menerusi tandukan kemenangan pada minit ke-111 hasil bantuan Messi untuk memastikan juara bertahan itu mara ke pusingan 16 terbaik.
Kekalahan itu menamatkan perjalanan luar biasa Cape Verde yang mencipta sejarah sebagai negara Afrika yang membuat penampilan sulung di Piala Dunia dan berjaya mara ke fasa kalah mati, sekali gus mencuri perhatian peminat bola sepak dunia menerusi semangat juang mereka. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Reuters
