KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengumumkan senarai 26 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan sebagai persiapan menghadapi saingan Piala Hyundai ASEAN 2026.
Kem latihan pusat itu akan bermula pada 15 Julai ini sebelum skuad negara memulakan cabaran pada kejohanan yang berlangsung dari 24 Julai hingga 26 Ogos.
Johor Darul Ta’zim (JDT) dan JDT II menjadi penyumbang terbesar apabila menghantar lapan pemain termasuk Mohamadou Sumareh, Ibrahim Manusi, Daryl Sham George, Pavithran Gunalan, Ziad El Basheer Norisham, Alif Ahmad, Faris Danish Asrul dan Haziq Aiman Esa.
Turut dipanggil ialah tonggak berpengalaman Kuala Lumpur City FC, Paulo Josue dan Syafiq Ahmad, selain Dominic Tan (Sabah FC), Jimmy Raymond dan Rodney Celvin Akwensivie (Kuching City FC), Rahadiazli Rahalim serta Ubaidullah Shamsul Fazili (Terengganu FC).
Turut tersenarai ialah pemain yang beraksi di luar negara seperti Hadi Fayyadh Abdul Razak (Vencedor Mie United), Richard Chin (Ross County FC) dan Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal (Sporting JAX).
Sebanyak sembilan lagi pemain diletakkan dalam senarai bersedia sekiranya berlaku perubahan pada skuad akhir, termasuk Akhyar Rashid, Adam Nor Azlin dan Samuel Sommerville.
Menurut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), pemilihan pemain dibuat selepas penelitian rapi oleh Tan Cheng Hoe sebelum senarai penuh dihantar kepada Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) pada tarikh akhir pendaftaran, semalam.
FAM memaklumkan, Cheng Hoe berdepan cabaran untuk membentuk skuad kerana kejohanan itu berlangsung di luar kalendar Perlawanan Antarabangsa FIFA selain kebanyakan kelab Liga Super 2026-2027 baharu memulakan latihan pramusim.
Skuad Harimau Malaya akan menjalani latihan selama lapan hari sebelum berlepas ke Yangon, Myanmar pada 23 Julai.
Malaysia akan memulakan kempen Kumpulan B menentang Myanmar di Stadium Thuwunna pada 25 Julai, sebelum melayan Laos di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 28 Julai.
Selepas itu, Harimau Malaya dijadual bertemu Thailand di Stadium Rajamangala pada 1 Ogos sebelum melengkapkan aksi kumpulan menentang Filipina di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 8 Ogos.
Dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir yang berlangsung secara timbal balik pada 15/16 Ogos dan 18/19 Ogos, manakala final dijadual berlangsung pada 22 Ogos dan 26 Ogos. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM
