SACHSENRING, Jerman – Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli meneruskan aksi cemerlang dalam Kejuaraan Dunia Moto3 apabila berjaya meraih petak ketiga pada sesi kelayakan Grand Prix (GP) Jerman di Litar Sachsenring hari ini.
Pelumba AEON Credit–MT Helmets–MSi itu mencatat masa terpantas 1 minit 24.909 saat pada penghujung sesi kelayakan kedua (Q2), sekali gus hanya ketinggalan 0.029 saat di belakang pemenang petak utama.
Keputusan itu menyaksikan Hakim bakal memulakan perlumbaan esok dari barisan hadapan buat kali keempat musim ini, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara pencabar utama dalam kempen sulung Moto3.
Hakim sebelum itu layak secara automatik ke Q2 selepas menamatkan sesi latihan rasmi pada Jumaat di kedudukan ketujuh, sekali gus mengelakkan saingan Q1.
Pada sesi Latihan Bebas 2 (FP2) pagi tadi, pelumba berusia 18 tahun itu memberi tumpuan kepada persediaan perlumbaan dengan mengumpul data serta menyesuaikan diri di litar berkenaan sebelum menamatkan sesi di tempat ke-23 dengan catatan 1:26.580s.
Bagaimanapun, apabila sesi kelayakan bermula, Hakim mempamerkan peningkatan ketara apabila mencatat masa terbaiknya pada tiga minit terakhir Q2 untuk melonjak ke kedudukan ketiga.
Pencapaian tersebut lebih bermakna apabila ia merupakan penampilan pertama Hakim di Sachsenring dalam saingan Kejuaraan Dunia Moto3.
Petak utama menjadi milik pelumba Red Bull KTM Ajo, Brian Uriarte yang turut merupakan pencabar utama gelaran Pelumba Ruki Terbaik musim ini selepas mencatat masa terpantas 1:24.880s.
Dengan bermula dari petak ketiga, Hakim sekali lagi berpeluang mencabar kelompok hadapan dalam perlumbaan GP Jerman, sekali gus meneruskan momentum positif selepas kejayaan bersejarahnya meraih kemenangan pertama di Grand Prix Republik Czech sebelum ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ZK Racing
