PULAU PINANG – Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf), Dr. Ong Shin Ruenn menerima Pingat Kelakuan Terpuji (P.K.T.) sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Kelahiran Ke-85 Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Datuk Seri Utama Ramli Ngah Talib.
MSDeaf dalam satu kenyataan memaklumkan, penganugerahan itu merupakan pengiktirafan terhadap jasa, kepimpinan dan komitmen berterusan beliau dalam memperkasa pembangunan sukan orang pekak di Malaysia, selain memperjuangkan hak, kebajikan dan kesejahteraan komuniti orang pekak.
Menurut kenyataan itu, sepanjang menerajui persatuan berkenaan, Ong memainkan peranan penting memperkukuh ekosistem sukan orang pekak menerusi pembangunan atlet, pengukuhan pentadbiran persatuan serta memperluaskan peluang penyertaan atlet di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Usaha berterusan beliau turut menyumbang kepada peningkatan kesedaran masyarakat terhadap potensi dan keupayaan golongan orang pekak,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, beliau turut menerima Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (P.P.W.) dan Kesatria Mangku Negara (K.M.N.) sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan kepada masyarakat dan negara.
Sebagai individu Orang Kurang Upaya (OKU) pekak, pencapaian Ong membuktikan kekurangan pendengaran bukan halangan untuk mencapai kecemerlangan, menerajui organisasi di peringkat nasional serta menyumbang kepada pembangunan negara.
“Kejayaan ini juga menjadi lambang bahawa golongan OKU mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan masyarakat lain, selain memainkan peranan penting dalam membentuk sebuah negara yang lebih inklusif, progresif dan menghargai kepelbagaian,” katanya.
MSDeaf berkata, pengiktirafan tersebut bukan sahaja membanggakan komuniti orang pekak, malah menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia untuk terus berusaha, berbakti dan mencapai kecemerlangan tanpa mengira cabaran atau kekurangan yang dihadapi.
Persatuan itu turut berharap Ong terus dikurniakan kesihatan yang baik, kekuatan serta kejayaan dalam meneruskan agenda pembangunan sukan orang pekak dan memperjuangkan pemerkasaan komuniti OKU demi manfaat generasi akan datang. – DETIK MALAYSIA
