TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) selama tiga tahun dengan Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bagi memperkukuh pembangunan sukan sepak takraw negara.
Kerjasama strategik itu merangkumi bidang pendidikan, penyelidikan sains sukan, pembangunan bakat serta pemindahan ilmu yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen universiti dalam memperkasakan pembangunan modal insan menerusi gabungan kecemerlangan akademik dan sukan.
“Melalui memorandum ini, UPSI komited menawarkan peluang pengajian di semua peringkat dengan pendekatan pembelajaran yang fleksibel kepada atlet PSM agar mereka dapat mengimbangi kecemerlangan dalam sukan dan akademik.
“Kerjasama ini juga membuka ruang kepada penyelidikan gunaan, latihan praktikal serta pemindahan ilmu yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook semalam.
Menurut beliau, PSM turut akan mencalonkan atlet berpotensi selain menyediakan jurulatih bertauliah bagi menyokong pelaksanaan program pembangunan bersama.
“Sinergi ini menyediakan laluan pendidikan yang lebih sistematik dan menyeluruh bagi melahirkan atlet berprestasi tinggi, berintegriti serta mampu mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Naib Canselor UPSI
