KUALA LUMPUR – Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) menyahut cabaran untuk menghadiahkan tiga pingat emas pada Sukan Komanwel Glasgow 2026, selari dengan sasaran yang ditetapkan kepada sukan itu oleh Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Awalan Abdul Aziz.
Presidennya, Datuk Ayub Rahmat berkata, sasaran itu akan digalas sembilan atlet negara yang sudah mengesahkan tempat ke temasya berprestij berkenaan berdasarkan prestasi semasa, pencapaian sepanjang tempoh kelayakan serta persiapan rapi yang sedang dijalankan.
“Kami bukan sahaja memburu kejayaan di Glasgow 2026, malah sedang membina asas yang kukuh untuk memastikan Malaysia terus menjadi kuasa angkat berat yang disegani di pentas Komanwel, Asia dan dunia.
“Kejayaan ini memerlukan komitmen semua pihak termasuk kerajaan, badan sukan, sektor korporat dan rakyat Malaysia demi memastikan kesinambungan kecemerlangan sukan angkat berat negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kontinjen angkat berat negara kini berada dalam fasa persiapan terakhir menjelang temasya tersebut dengan menjalani kem latihan intensif di Istanbul, Turki bermula 28 Jun hingga 23 Julai sebelum berlepas terus ke Glasgow.
Katanya, PABM turut memberi penekanan terhadap aspek pemakanan dan pematuhan antidoping bagi memastikan atlet mematuhi sepenuhnya peraturan Agensi Antidoping Dunia (WADA), sekali gus mengelakkan sebarang risiko pencemaran bahan terlarang.
Sehubungan itu, beliau berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat memberi perhatian terhadap penyediaan suplemen serta makanan tambahan yang selamat, berkualiti dan disahkan bebas daripada bahan terlarang.
“PABM juga memohon pertimbangan KBS supaya menambah peruntukan kos makanan atlet ketika menjalani kem latihan di dalam dan luar negara memandangkan keperluan nutrisi atlet angkat berat lebih tinggi bagi menyokong latihan intensif serta mengekalkan berat badan mengikut kategori pertandingan,” katanya.
Dalam pada itu, Ayub turut merakamkan penghargaan kepada Tan Sri Datuk Dr. Daing Malek Daing A. Rahaman atas komitmen dan sumbangan dalam membantu persiapan atlet angkat berat negara menghadapi Sukan Komanwel Glasgow 2026 serta Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Beliau pada masa sama berharap lebih banyak syarikat korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pihak swasta tampil menjadi rakan strategik bagi memperkukuh pembangunan sukan angkat berat negara.
“Dengan sokongan KBS, Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Olimpik Malaysia (OCM), sektor korporat serta seluruh rakyat Malaysia, kami yakin sasaran tiga pingat emas mampu direalisasikan,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FB Ayub Rahmat
