EAST RUTHERFORD – Ketua jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente mengingatkan anak-anak buahnya supaya tidak melakukan sebarang kesilapan kecil apabila berdepan juara bertahan, Argentina pada aksi final Piala Dunia 2026 awal pagi esok.
Menurut De la Fuente, pertembungan dua gergasi bola sepak dunia itu dijangka berlangsung sengit dan hanya akan ditentukan menerusi detik-detik penting sepanjang 90 minit permainan.
“Perlawanan final Piala Dunia amat bermakna, lebih-lebih lagi apabila anda berpeluang untuk muncul juara.
“Kami bakal menentang pasukan kebangsaan yang berada pada tahap tertinggi sejak beberapa tahun lalu. Ia pasti menjadi aksi yang cukup seimbang,” katanya.
Sepanyol hadir ke pentas final dengan misi melengkapkan gelaran berganda selepas muncul juara Kejohanan Euro, manakala Argentina memburu kejuaraan Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut selepas menjuarai edisi 2022.
Mengulas mengenai lawannya, De la Fuente mengakui beliau dan pengendali Argentina, Lionel Scaloni mempunyai falsafah bola sepak yang hampir sama.
“Saya dan Scaloni berkongsi banyak idea serta cara berfikir. Saya tidak fikir kedua-dua pasukan mempunyai perbezaan yang besar,” ujarnya.
Perlawanan itu turut mencuri tumpuan apabila bintang muda Sepanyol, Lamine Yamal dijangka menjadi sandaran utama untuk berdepan kapten Argentina, Lionel Messi.
Bagaimanapun, De la Fuente menegaskan Yamal tidak perlu memikul tekanan berlebihan sebaliknya hanya perlu menampilkan corak permainan semula jadinya.
“Lamine perlu kekal menjadi dirinya sendiri. Leo Messi pula adalah contoh terbaik buat pemain-pemain muda.
“Kunci kejayaan ialah bekerja keras setiap hari dan sentiasa dikelilingi rakan sepasukan yang baik,” jelasnya.
Dalam masa sama, De la Fuente percaya final itu bakal menyajikan aksi bola sepak berkualiti tinggi, namun mengingatkan skuadnya supaya memanfaatkan setiap peluang yang hadir.
“Kita akan menyaksikan perlawanan antara dua pasukan yang hebat. Saya harap ia menjadi tontonan menarik buat semua.
“Perlawanan ini akan ditentukan oleh perkara-perkara kecil, dan kami mesti memastikan setiap detik penting memihak kepada Sepanyol,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – RFEF
