EAST RUTHERFORD – Pengendali Argentina, Lionel Scaloni menegaskan skuad juara bertahan itu perlu mempamerkan prestasi terbaik sekiranya mahu mempertahankan gelaran apabila menentang Sepanyol pada aksi final Piala Dunia 2026 awal pagi esok.
Menurut Scaloni, persiapan pasukannya berjalan seperti biasa dengan penuh semangat dan disiplin, namun mengakui hanya aksi terbaik mampu menewaskan juara Eropah itu.
“Kami membuat persiapan seperti setiap perlawanan sebelum ini, dengan penuh semangat, keazaman dan meneliti kekuatan lawan.
“Kami perlu menampilkan versi terbaik permainan kami jika mahu muncul juara,” katanya pada sidang akhbar menjelang final.
Scaloni berkata, Argentina berada dalam keadaan terbaik walaupun masih terdapat beberapa aspek yang boleh dipertingkatkan.
“Pasukan kami sudah dikenali semua lawan dan mereka tahu bagaimana kami bermain. Sebab itu, kejayaan mara ke satu lagi final menjadi sesuatu yang lebih istimewa.
“Kami akan melakukan segala-galanya untuk memenangi perlawanan ini,” ujarnya.
Jurulatih berusia 48 tahun itu turut mengesahkan semua pemain berada dalam keadaan cergas dan bersedia untuk diturunkan.
“Latihan terakhir esok amat penting, tetapi buat masa ini semua pemain berada dalam keadaan baik dan boleh beraksi,” katanya.
Scaloni turut mengakui sokongan luar biasa daripada penyokong Argentina memberikan motivasi tambahan kepada pasukannya.
“Mustahil untuk kami tidak tersentuh dengan apa yang dirasai rakyat Argentina.
“Kami bermain untuk mereka dan kami berjaya mengembalikan sesuatu yang sangat berharga, iaitu semangat rakyat yang boleh bersatu menyokong pasukan kebangsaan tanpa mengira kelab masing-masing,” jelasnya.
Mengulas mengenai lawan, Scaloni menyifatkan Argentina dan Sepanyol mempunyai falsafah bola sepak yang hampir sama kerana kedua-duanya mengutamakan penguasaan bola.
“Kami adalah dua pasukan yang membina permainan berasaskan penguasaan bola.
“Memang ada sedikit perbezaan, tetapi secara asasnya kami mempunyai cara berfikir yang hampir sama,” katanya.
Beliau turut mendedahkan barisan kejurulatihan sudah membuat analisis terhadap bakal lawan sejak Disember lalu, namun tidak memberi tumpuan khusus kepada Sepanyol sahaja.
“Kami sudah mengkaji semua bakal lawan sejak Disember. Kami tidak memberi perhatian lebih kepada Sepanyol berbanding pasukan lain.
“Terlalu banyak menganalisis juga bukan sesuatu yang baik kerana kedua-dua pasukan sudah cukup mengenali antara satu sama lain,” ujarnya.
Dalam masa sama, Scaloni tidak lokek memuji kapten pasukan, Lionel Messi yang sekali lagi membawa Argentina ke pentas final pada usia 39 tahun.
“Untuk Leo beraksi dalam satu lagi final Piala Dunia pada usia 39 tahun adalah sesuatu yang luar biasa.
“Kita perlu menghargai segala yang telah dilakukannya, sejarah yang dicipta dan legenda yang dibinanya. Bukan hanya Messi, malah seluruh kumpulan pemain ini telah menghadiahkan begitu banyak kenangan indah kepada Argentina,” katanya.
Tambah Scaloni, apa juga keputusan di final nanti, skuad kendaliannya sudah pun mengukir nama sebagai antara generasi terbaik dalam sejarah bola sepak Argentina.
“Kami sentiasa berterima kasih kepada semua pemain ini. Bersaing di tahap tertinggi selama bertahun-tahun bukan sesuatu yang mudah.
“Sudah tentu kami mahu menang, tetapi perjalanan yang dilalui pasukan ini sendiri sudah cukup luar biasa dan menjadi contoh kepada semua,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AFA
